nuansa

Gambaran dunia pelukis

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM) meriah dengan hasil karya 31 kakitangan dan pensyarah Pusat Pengajian Seni universiti itu menerusi Pameran Oasis 2017: Menduniakan Melalui Seni.

Pameran kali ini berkonsepkan gambaran daripada perspektif pengkarya terhadap dunia di sekelilingnya serta menggunakan pelbagai medium untuk dijadikan bahan tatapan.

Ia turut menawarkan peluang bagi pengkarya berkumpul untuk berkongsi penterjemahan dan per­spektif mengenai isu terkini membabitkan artistik yang ‘menduniakan’ dunia hari ini.

Pensyarah dalam bidang seni yang juga peserta pameran itu, Siti Sulaily Surip berkata, dia turut mengetengahkan tiga karyanya bertajuk ‘Bamboo Eco Light Series’.

Katanya, dia menggunakan medium buluh dan mentol lampu bagi mewujud­kan pencahayaan dramatik selain menunjukkan buluh sebagai sebuah produk.

“Ada buluh dipotong menjadi kepingan dan dilekatkan semula serta ditebuk supaya menghasilkan pembentukan cahaya diingini.

“Ia menunjukkan buluh bukan saja boleh diubah dengan proses kreatif, malah menjadi produk bernilai,” katanya yang sedang meleng­kapkan kajian mengenai reka bentuk produk.

Antara karya mencuri tumpuan ialah ‘Malay Comic Design: From Paper To Digital’ yang mengimbau zaman kegemilangan komik di Malaysia sekitar tahun 1990-an. Begitu juga gabungan lima tokoh pemimpin negara sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Karya ‘Debris MH370’ yang menggunakan kepingan papan elektronik bagi menggambarkan perasaan artis, Shahrul Anuar Shaari terhadap tragedi menyedihkan itu.

Keseluruhannya, karya pameran berkenaan wajar dipuji berikutan kreativiti dan ke­sungguhan yang peserta tunjukkan amat mengagumkan.

Pameran yang bermula dari 11 Mei hingga 1 Jun itu dirasmikan Pengarah Pejabat Ombudsman, Prof Datuk Seri Dr Salleh Yaapar dan Pengarah MGTF, Zolkurnian Hassan.

Sementara itu, Dr Sal­leh berkata, bukan mudah untuk menghimpunkan dan menghasilkan karya bermutu berikutan sibuk dengan tugas harian.

Namun katanya, ia dilakukan demi tanggungjawab mendidik dan memberi kesedaran, menghasilkan pelbagai karya yang unik, kreatif dan bernilai tinggi.

“Usaha ini wajar dicontohi pelajar apabila pensyarah bukan saja hanya bercakap mengenai seni di dalam kelas, juga turut menghasilkan karya setanding seperti apa yang dikehendaki,” katanya.

Antara peserta yang terbabit ialah Safrizal Shahir, Azimin Dzulkarnaen Zulkiflee, Shamsu Mohamad, Safia Najwa Suhaimi, Muhammad Jameel Mohamed Kamil, Husaini Yaacob dan Nur Zaidi Azrai.

Disiarkan pada: May 26, 2017 @ 1:05pm
d