nuansa

Mesra alam, jimat kos bahan api

Oleh Yusri Abdul Malek

Rupanya hodoh seperti ikan paus ‘bodoh’ tetapi ia sangat berguna sebagai satu daripada pengangkutan utama membawa pelbagai komponen pesawat keluaran Airbus sama ada pesawat komersial atau pesawat tentera dari kilangnya di United Kingdom, Sepanyol dan Jerman untuk dihantar ke kilang pemasangan utama di Toulouse, Perancis.

Itulah pesawat Airbus Beluga A300-600ST yang mengambil nama satu daripada spesies ikan paus yang masih wujud di dunia iaitu beluga dan ia pertama kali diterbangkan pada 13 September 1994.

Terdapat lima pesawat jenis sama yang aktif digunakan untuk mengangkut setiap komponen pesawat yang dibuat Airbus di keempat-empat negara berkenaan.

Kesempatan melawat kilang pembuatan sayap pesawat A350-900 yang ditempah Penerbangan Malaysia Berhad (MAB) di Broughton, Wales Utara, United Kingdom baru-baru ini menemukan penulis dengan pesawat bermuka aneh ini.

MAB menempah enam pesawat A350-900 yang berbadan lebar itu dikuasakan dengan dua enjin Roll Royce Treny XWB-84 dan penghantaran pertama akan dibuat akhir tahun ini. Dengan adanya pesawat baharu ini, ia akan digunakan untuk sektor penerbangan jarak jauh seperti ke London, Melbourne, Australia dan Auckland, New Zealand.

Pesawat baharu ini juga dikatakan mesra alam dan menjimatkan kos bahan api sehingga 15 peratus, menjadikan ia pesawat paling ekonomikal. Ini bermakna MAB dapat menjimatkan kos untuk perjalanan jarak jauh pada masa depan.

Dalam usaha mengembalikan kegemilangan syarikat kebangsaan ini, peranan mendapatkan pesawat baharu adalah satu strategi menambat hati penumpang untuk ke destinasi masing-masing.

Kilang Airbus ini terletak dalam kawasan seluas 10 kilometer persegi dengan memiliki landasan terbang sepanjang 2,043 meter dan dikhususkan untuk membuat sayap pelbagai pesawat komersial dihasilkan Airbus termasuk dari keluarga A320, A330, A380 dan yang terbaharu A350 (pesawat berbadan lebar).

Dianggarkan, hampir 6,000 pekerja yang kebanyakan menghuni bandar Chester yang terletak berdekatan, bekerja di kilang berkenaan yang sudah sedia wujud sejak era Perang Dunia Kedua lagi. Boleh dikatakan kewujudan kilang itu memberi rezeki kepada penduduk setempat.

Pembuatan sayap adalah salah satu bahagian komponen yang paling teknikal dalam menghasilkan sesebuah pesawat. Ia menentukan prestasi aerodinamik keseluruhan dan amat penting bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

Bagi pesawat A320, semua penghasilan lengkap sayap pesawat termasuk sistem elektrik, teknikal dan hidrolik dibuat di kilang sama tetapi bagi sayap yang lebih kompleks seperti A330 dan A350, sayap yang sudah siap itu diangkut ke sebuah lagi kilang pemasangan Airbus di Breman, Jerman dan akan diterbangkan menggunakan pesawat Beluga.

Untuk sayap pesawat A380 pula, ia terlalu besar untuk diangkut dengan Beluga, jadi jalan penyelesaian ke kilang pemasangan terakhir di Toulouse menggunakan tongkang khas melalui sungai dan laut sebelum diangkut di atas jalan raya dengan kenderaan khas yang direka khas.

Di kilang ini, bagi membolehkan pelbagai sayap diangkut, disediakan satu bangunan kilang dinamakan Stesen Beluga yang digunakan untuk menurunkan atau memunggah komponen sayap untuk jenis pesawat tertentu.

Salah satu kilang yang dikhaskan membuat sayap A350-900 ini dinamakan Kilang Utara dan ia dibina dengan pelaburan RM2.2 bilion pada Oktober 2011. Sejak produksi pertama sehingga kini, sebanyak 821 pesawat sudah dan sedang disiapkan membabitkan 44 pelanggan di seluruh dunia yang kebanyakan syarikat penerbangan kebangsaan.

Setakat ini, 75 pesawat itu sudah beroperasi iaitu 14 pesawat dikendalikan Qatar Airways, Vietnam Airlines (tujuh), LATAM (tujuh), Finnair (tujuh), Singapore Airlines (12), Cathay Pacific (13), Ethiopian Airlines (tiga), Thai Airways (dua), China Airlines (lima), Lufhansa (tiga) dan Air Caraibes (dua).

Pesawat berbadan lebar ini adalah saingan terbaharu untuk pesawat 787 Dreamliner yang dihasilkan sebuah lagi gergasi pembuat pesawat iaitu Boeing.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 12:48pm
d