nuansa

Selami situasi Malaysia era 70-an

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Bilangan karya yang berjaya disiapkan beliau tidaklah begitu banyak namun, namanya diangkat sebagai antara pelukis seni rupa moden Malaysia yang berpengaruh besar.

Hasil karya Allahyarham Zulkifli Dahlan merangkumi beberapa jenis media, termasuk arca dan seni cetakan, tetapi beliau lebih dikenali menerusi karya lukisan dan catan bergaya naif, surrealis serta neo-eksperionis dengan daya imaginasi dan bicara wacana yang tinggi.

Pandangan hidup Zulkifli dan seninya, secara umum dipengaruhi beberapa faktor antaranya ketegasan didikan bapanya, kepesatan pembangunan kota kelahirannya (Kuala Lumpur) dan pendedahannya kepada seni, budaya moden serta kontemporari.

Karyanya sarat dengan jenaka pintar, kritikan tajam dan erotisisme yang mendebarkan malah karya beliau sering memperkatakan tema berkaitan konteks sosial dan budaya di dalam masyarakat kontemporari.

Realiti Berasingan: Satu Hari Di Bumi Larangan dan Kedai-Kedai adalah dua lukisan beliau paling kerap dirujuk dan diulas.

Kedua-duanya dianggap ikonik dalam sejarah seni rupa moden Malaysia kerana penampilan lembaga absurd manusia telanjang yang berkeliaran dalam landskap kota sebagai wadah untuk mewacanakan isu berkenaan kehidupan kontemporari dan sikap manusia.

Pameran Bumi Larangan: Zulkifli Dahlan menampilkan sekumpulan karya tinggi nilainya dan signifikan bukan saja disebabkan kehebatan penerokaan formalis serta tema artis tetapi kerana sesetengah kesan serta pengaruhnya ke atas perkembangan seni rupa tempatan.

Sebahagian besarnya disimpan selama kira-kira 40 tahun oleh keluarga Zulkifli sendiri.

Karya yang dipamerkan ini bakal membolehkan khalayak menelusuri dan memahami sisi pemikiran dan praktis yang menjadi teras kepada kesenimanan Zulkifli Dahlan.

Meneliti karya ini juga membawa kita menyelami beberapa aspek serta situasi penting berkenaan kedua-dua seni rupa Malaysia dan juga masyarakat Malaysia pada 1970-an, dekad yang menyaksikan berlakunya beberapa detik besar dalam sejarah negara ini serta sejarah seni rupanya.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 12:53pm
d