nuansa

Sakit kusta boleh sembuh

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Stigma negatif masyarakat terhadap penyakit kusta tidak pernah berubah. Malahan mereka sering menjadikan pesakit mangsa keadaan apabila dilihat seperti ‘makhluk asing’ apabila keluar ke kawasan tumpuan ramai disebabkan tompokan putih pada kulit wajah dan tubuh.

Situasi itu menyebabkan mereka kehilangan keyakinan untuk bertemu orang ramai sebaliknya memencilkan diri di tempat terpencil.

Masyarakat pula enggan bergaul dengan golongan berkenaan kerana bimbang dijangkiti penyakit yang dianggap tiada penawar.

Persepsi itu ternyata meleset kerana sebenarnya terdapat ubat yang mampu menyembuhkan penyakit berkenaan yang ditemui 1983 dikenali sebagai ‘Multi Drug Treatment’ (MDT) iaitu gabungan tiga jenis antibiotik Dapson, Clofazimin dan Rifampicin.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Dr Radhiah Mustafar berkata, penyakit kusta disebabkan bakteria mycrobactrium leprea yang disebarkan melalui titisan udara dilepaskan oleh pesakit positif kusta menerusi batuk dan bersin.

“Ia tidak berjangkit menerusi sentuhan seperti bersalaman sebagaimana dianggap segelintir masyarakat sebelum ini.

“Tetapi dengan pengambilan tiga kapsul antibiotik MDT setiap hari selama setahun boleh menyembuhkan pesakit kusta sepenuhnya.

“Ini kerana antibiotik MDT dapat membunuh kuman kusta dengan lebih cepat dan pesakit tidak perlu bimbang penyakit itu berulang,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, sebelum kemunculan MDT, pesakit kusta hanya bergantung pada dua jenis ubat bagi memperlahankan keaktifan bakteria itu.

“Antaranya menggunakan kaedah tradisional iaitu menerusi suntikan dua kali seminggu minyak daripada herba hydnocarpus wightiana atau buah kusta kepada pesakit sebelum 1940.

“Kemudian digantikan antibiotik Dipson pada 1940 hingga 1980.

“Namun keberkesanan dua ubat ini tidak mampu menandingi kehebatan MDT kerana pesakit perlu bergantung dengan ubat berkenaan (herba hydnocarpus wightiana dan Dapson) sepanjang hayat selain risiko pengulangan penyakit itu,”katanya.

Oleh itu, katanya, dengan penggunaan antibiotik MDT pesakit tidak lagi perlu menjalani rawatan pencegahan menerusi kaedah pengasingan seperti yang diamalkan sebelum program Kawalan Kusta Kebangsaan dilancarkan pada 1970.

“Antibiotik MDT dapat mengurangkan banyak masalah penyakit kusta yang suatu ketika dahulu mencecah kira-kira 2,000 pesakit dan kini hanya tinggal 141 pesakit ditempatkan di Pusat Rawatan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh.

“Mereka yang masih berada di pusat itu sebenarnya sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu dan boleh pulang ke pangkuan keluarga serta masyarakat. Namun, kerana stigma yang ada mereka memilih untuk terus tinggal di pusat tersebut sehingga akhir hayat mereka,”katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 10:17am
d