nuansa

Bufet bantu pelarian Arab

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Tujuh tahun menetap di negara ini sebagai penuntut antarabangsa dari Syria tidak pernah membuatkan dia kekok untuk melakukan pelbagai aktiviti kebajikan.

Malah tempoh itu menjadikan dia sangat matang dan peka dengan nasib pelarian yang menumpang kasih di negara ini.

Ini berikutan pengalamannya menyaksikan sendiri kepayahan yang dilalui pelarian terbabit di negara ini selepas terpaksa meninggalkan negara asal ekoran konflik yang berlaku di sana.

Meskipun berhadapan banyak kekangan kerana statusnya sebagai penuntut di sebuah institut pengajian tinggi swasta di Cyberjaya, itu tidak menghalangnya menabur bakti membantu orang memerlukan terutama pelarian.

Atas kesedaran itu, Alaa Bakar menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Give&Go Malaysia sebagai platform membantu pelarian, gelandangan dan anak yatim dengan cara lebih kreatif.

Pada Ramadan tahun ini, pemuda berusia 26 tahun itu mengambil inisiatif menganjurkan program bufet pelarian Arab bagi membantu keluarga pelarian mencari pendapatan.

Katanya, dalam program berkenaan 10 keluarga pelarian dipilih bagi menyediakan lebih 13 hidangan istimewa makanan Arab untuk dihidangkan secara bufet di sebuah restoran di Damansara Perdana, Petaaling Jaya, baru-baru ini.

“Hidangan utama ialah nasi mandi ayam, nasi kabsah ayam, spageti, ayam keju dan kuih tradisional maklobah.

“Tiket dijual untuk dewasa ialah RM59 dan RM29 untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

“Kami berjaya menarik 120 penderma yang terdiri daripada rakyat tempatan dan antarabangsa untuk membeli tiket bufet ini dan berjaya mengumpul kutipan kira-kira RM7,000,”katanya.

Menurutnya, hasil kutipan jualan tiket itu akan dikembalikan semula kepada keluarga terbabit sebagai pendapatan mereka bagi menampung kehidupan di negara ini.

Katanya lagi, lebihan daripada hasil kutipan tiket akan digunakan untuk program akan datang.

Pelarian Syria, Mohamad Hasan Yahya, 17, berkata, program itu amat baik kerana dapat membantu meringankan beban ditanggung keluarga pelarian untuk mendapatkan wang kerana mereka tidak dibenarkan bekerja di negara ini.

“Pelarian khususnya dari Syria kurang gemar diberikan bantuan semata-mata seperti sedekah kerana mereka lebih suka bekerja dan berdikari untuk mencari wang.

“Ibu saya, Fatimah Jaradi,38, turut terbabit dalam program ini dengan memasak spageti selain selain aktif mengambil tempahan memasak makanan arab,”katanya.

Mohamad Hassan yang juga sukarelawan Give&Go Malaysia itu berkata, dia gembira program berkenaan mendapat sambutan baik daripada masyarakat walaupun pertama kali diadakan sehinggakan ramai tidak berpeluang menyertainya dan bercadang mengadakan sekali lagi pada tahun hadapan.

Turut hadir ialah pelakon era 1980-an Azmil Mustapha dan pengasas Tangisan Syria di bumi Jordan Ahmad Musa al-Nuwayri Kamaruzaman.

Penderma turut dihiburkan persembahan lakonan anak pelarian Syria bertajuk Berhenti Perang, Bawa Keamanan.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 10:30am
d