nuansa

Teratak Semai

Oleh Hartini Mohd Nawi

Laluan kecil hanya memuatkan sebuah motosikal atau pejalan kaki saja membuatkan perjalanan ke perkampungan Orang Asli yang majoritinya didiami suku Semai ini memberikan 1,001 pengalaman buat penulis dan jurugambar.

Hasrat ingin meninjau keadaan sebenar Projek Teratak Semai yang dilaksanakan di Kampung Batu 17, Tapah, Perak itu selepas liputan mengenainya sudah dikeluarkan Harian Metro April lalu.

Projek Teratak Semai membabitkan teknik baru konsep pembinaan kediaman sendiri (self-build housing) dikongsi antara kepakaran moden dan pertukangan tradisional.

Bertemankan Ketua Projek, Projek Teratak Semai Prof Madya Dr Meor Mohammed Fared Meor Razali dan penyelidik Projek Teratak Semai Dr Wan Srihani Wan Mohamed di Fakulti Rekabentuk & Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), kami berempat membonceng motosikal komuniti suku Semai itu.

Sebaik sampai ke kawasan empangan Tenaga Nasional Berhad iaitu lokasi terakhir yang boleh dilalui kenderaan empat roda, sekumpulan komuniti Orang Asli sudah sedia menunggu untuk membawa kami ke perkampungan mereka.

Fasih berbahasa Melayu membuatkan komunikasi antara kami lebih lancar dan mudah.

Hampir setengah jam menelusuri laluan sempit dan curam, penunggang motosikal yang kami bonceng nyata berpengalaman kerana sering menumpangkan sesiapa saja yang ingin ke kampung mereka.

“Inilah satu-satunya laluan keluar masuk ke kampung kami.

“Membawa sesiapa saja yang ingin ke kampung kami atau kadang-kadang membawa keluar hasil hutan seperti durian atau petai untuk dijual di luar sana (bandar).

“Alternatif lain, kena jalan kaki tapi mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke tempat kami,” kata Ramli Bang, 50, kepada penulis.

Bukan saja cerunan yang dilalui, malah sesekali motosikal terpaksa diperlahankan dek merentasi titi sempit anak sungai atau membelok kerana mengelak batu besar di tepi jalan.

“Perjalanan ini sukar bagi orang baru, namun tidak bagi kami kerana setiap urusan membabitkan dunia luar hanya menggunakan jalan ini,” katanya.

Pengalaman bagaikan menaiki ‘roller coaster’ itu akhirnya menemukan penulis dengan beberapa komuniti suku Semai di Kampung Batu 17 yang di dalamnya terdapat beberapa lagi kampung kecil.

Kampung LZ Sekam atau dikatakan merujuk kepada ‘landing zone’ untuk helikopter jika berlaku kecemasan, adalah kampung paling akhir menempatkan komuniti suku itu.

Kunjungan kami begitu dialu-alukan penduduk sekitar apatah lagi mereka sering berurusan dengan Prof Madya Dr Meor Mohammed Fared dan Dr Wan Srihani sejak projek Teratak Semai dalam perancangan.

“Sebenarnya tempat tinggal kami masih jauh ke dalam tapi sejak 1990-an kami mula berpindah ke sini.

“Dalam sebuah rumah biasanya ada lapan hingga sembilan keluarga,” kata wakil tok batin, Ebal Babu yang mengakui selesa berada di perkampungan itu biarpun jauh dari arus kemodenan.

Ketika berada di pekarangan sebuah kediaman Teratak Semai milik Baduk Bang, 52, material termasuk buluh dan kayu yang diketengahkan membuatkan kaedah pembinaannya masih berinspirasikan alam sekitar digabungkan dengan kepakaran moden.

“Kediaman ini lebih kukuh, selesa dan membuatkan kami gembira apabila ia dibina berasaskan sumber hutan yang berada di kawasan ini,” kata Baduk.

Berada di Kampung Pos Sekam, sebuah kediaman Teratak Semai berasaskan anyaman bertam nyata mencuri perhatian ditambah dengan kedudukannya berhampiran jalan masuk.

Mesra menyapa kami, pemiliknya Bahdik Bahlih, 47, mengakui berada di kediaman itu membuatkan beliau lebih selesa berbanding kediaman sebelum ini.

“Kami gembira dengan kediaman ini,” katanya yang menjadikan hobi menangkap rama-rama dan menjualkannya kepada ‘tauke’ dari Cameron Highlands sebagai sumber pendapatan tambahan.

Seharian berada di beberapa perkampungan dalam Kampung Batu 17 itu, akhirnya kami berempat berangkat pulang. Sekali lagi laluan penuh cabaran ditempuh.

Sesekali Ramli berhenti dan memaklumkan kepada penulis berkenaan pokok hutan unik di tepi jalan itu.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 10:34am
d