nuansa

30 terima sumbangan Ramadan PIUMM

Hanya senyuman kegembiraan terukir di wajah 30 anak yatim, asnaf dan pelajar tahfiz apabila menerima sumbangan Ramadan daripada Pertubuhan Ikatan Usahawan Melayu Malaysia (PIUMM).

Bukan itu saja, mereka turut diraikan untuk berbuka puasa dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian sumbangan anjuran PIUMM iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bersekutu Malaysia bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Semua mereka adalah dari Pertubuhan Dar Asnaf al- Fateeh al-Idrisiah Selangor (DAAFIS) dan Maahad Tahfiz Hulu Langat.

Anak asnaf, Nur Aishah Humairah Abdullah, 10, berkata, dia gembira apabila kali kedua menerima sumbangan itu daripada pertubuhan berkenaan kerana dapat membantu meringankan beban ibunya dalam membuat persiapan Aidilfitri.

“Ibu saya, Hazirah Norasyikin Harun,32, tidak bekerja dan kehidupan kami sekeluarga hanya bergantung wang bantuan daripada Pusat Zakat Selangor,”katanya.

Turut hadir Presiden PIUMM Datuk Remie Arman Musa dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman.

Dalam pada itu Remie berkata, program berkenaan adalah kali ketiga diadakan bersama IPD Dang Wangi untuk meraikan anak yatim, asnaf dan pelajar tahfiz di bulan Ramadan.

“Program ini juga kerjasama dengan lebih 20 NGO lain serta syarikat korporat.

“Semua mereka adalah anak angkat kepada pertubuhan ini dan berharap sumbangan diberikan turut menjadi motivasi mereka untuk berjaya dalam pelajaran,”katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2017 @ 3:19am
d