nuansa

Pakaian sendiri belum dijahit

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Hanya mengerah keringat dan kemahiran menjahit pakaian, lima penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) menyiapkan 1,185 pasang baju raya untuk asnaf dan anak yatim dari lebih 20 pusat kebajikan di seluruh negara.

Walaupun dengan status sendiri sebagai anak yatim dan asnaf, tapi bukan penghalang kepada mereka membuat kebajikan bagi membantu asnaf dari pusat kebajikan lain.

Usaha murni itu adalah menerusi Projek Pelangi RPWP untuk memberikan sinar kebahagiaan kepada golongan terbabit kerana ada di antara mereka tidak mempunyai baju raya baru setiap kali Aidilfitri.

Penulis yang seharian menyertai projek berkenaan kagum melihat kesungguhan lima penghuni berkenaan menyiapkan semua pakaian yang dijahit di bengkel jahitan pertubuhan terbabit di Bangi Sentral, Bangi.

Lebih menyentuh hati, disebabkan kesibukan menyiapkan pakaian orang lain, pakaian raya mereka sendiri belum dijahit meskipun Aidilfitri akan disambut Ahad ini, sedangkan mereka sendiri adalah asnaf dan anak yatim yang sewajarnya dibantu.

Penyelia Projek Pelangi Muhamad Dinie Masjuki berkata, projek itu diperkenalkan tahun lalu dan pada masa itu berjaya mengagihkan 750 pasang baju Melayu dan jubah ke sembilan rumah kebajikan serta anak yatim.

“Pakaian ini dihantar oleh sukarelawan RPWP dan untuk tahun ini pengagihannya sudah mula dilakukan secara berperingkat.

“Projek ini berkonsepkan ringan tangan membantu kerana RPWP tidak mempunyai dana sebaliknya menggunakan keringat dan kemahiran membantu insan lain,” katanya.

Katanya, RPWP ditubuhkan 13 tahun lalu dan ditadbir tanpa meminta derma tetapi menggunakan harta 20 pengasas yang diwakafkan untuk menguruskan rumah berkenaan.

Rumah itu yang menempatkan lebih 200 anak yatim, asnaf, orang kurang upaya (OKU), anak tidak sah taraf, remaja rosak akhlak dan warga emas beroperasi di Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor.

“Lima penghuni pertubuhan ini terlebih dulu diberikan latihan kemahiran menjahit oleh empat murabbiah yang berpengalaman dalam bidang jahitan selain membantu menyiapkan jahitan.

“Sebenarnya projek ini memberi ruang pendidikan kepada anak RPWP untuk merasai nikmat membantu orang lain.

“Nikmat ini sukar dijelaskan dan hanya boleh merasainya jika membantu orang lain,” katanya.

Nurul Fitrah Abd Jami, 18, berkata, ketika memasuki RPWP tiga tahun lalu dia langsung tidak mengetahui menjahit pakaian tetapi meminati bidang jahitan itu.

Katanya, menjadi penghuni RPWP memberi peluang keemasan kepadanya untuk mempelajari bidang diminati kerana mempunyai murabbiah berpengalaman dalam bidang berkenaan.

“Sebulan mengikuti kelas jahitan, saya sudah boleh menjahit beberapa jenis pakaian seperti baju kurang, Melayu, jubah dan tudung.

“Saya seronok dengan tugas ini kerana selain membantu juga mendapat pahala,” katanya.

Manakala Nik Nur Nasuha Nik Mat, 17, berkata, dia meminati fesyen tudung akan menghasilkan tudung berfesyen tetapi aspek labuh menjadi keutamaan.

“Ilmu jahitan saya pelajari antara ilmu paling berharga saya pelajari sejak 10 tahun menetap di RPWP.

“Kemahiran yang saya miliki ini atas tunjuk ajar murabbiah dan tidak salah rasanya menggunakan kemahiran ini membantu orang lain,”katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 3:44am
d