nuansa

Baca al-Quran dalam komuter

Oleh Rodly Fadly

Pelbagai usaha dilakukan untuk menggalakkan masyarakat Islam membaca dan menghayati al-Quran.

Ia bukan saja bagi mendorong menjadikan kitab suci itu sebagai teman pendamping malah panduan dalam menjalani kehidupan seharian.

Sehubungan itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Pertubuhan Belia Islam Malaysia (PEMBINA), Indahnya Islam dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menganjurkan kempen membaca al-Quran melalui program Quran Sana Sini.

Agak unik namun signifikan dengan matlamatnya, kempen berkenaan dilancarkan di Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) yang menjadi tempat tumpuan warga kota untuk menggunakan perkhidmatan tren menuju ke pelbagai destinasi, baru-baru ini.

Seramai 60 sukarelawan terdiri daripada penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai program terbabit.

Melalui kempen sulung itu, peserta program melakukan aktiviti membaca al-Quran dalam komuter sepanjang perjalanan dari KL Sentral menuju ke tiga destinasi iaitu Seremban, Shah Alam dan Batu Caves.

Ketua Biro Islamiyat ISMA Omar Kassim berkata, objektif program adalah untuk memberi galakan kepada masyarakat supaya membudayakan aktiviti membaca al-Quran di mana-mana saja tanpa mengira waktu.

“Lazimnya, aktiviti membaca al-Quran hanya dilakukan di masjid, surau atau rumah. Jarang kita melihat orang membaca kitab suci itu ketika menunggu bas atau tren mahupun di dalam kenderaan awam. Begitu juga di tempat awam seperti kompleks beli-belah atau di taman rekreasi.

“Melalui kempen ini juga, kita mahu memberi pencerahan kepada masyarakat bahawa al-Quran boleh dibaca di mana-mana saja kecuali di tempat yang dilarang seperti tandas.

“Pada masa sama, kita mahu menukar budaya terkini masyarakat yang lebih gemar bermain gajet seperti telefon bimbit kepada membaca al-Quran sebagai amalan,”katanya.

Beliau berkata, kempen itu bukan sekadar dilakukan pada bulan tertentu sebaliknya diteruskan dengan beberapa program lain sedang disusun ISMA termasuk di luar negara.

Pada masa sama beliau berharap pelbagai pihak tampil membantu untuk memperluaskan kempen berkenaan.

Disiarkan pada: July 14, 2017 @ 1:09pm
d