nuansa

Terbahagi pada 4 tingkat

Menggabungkan elemen reka bentuk Timur Tengah dan tradisional Melayu sebagai konsep utama pembinaan Masjid Putra di Putrajaya memberikan nilai eksklusif kepada masjid berkenaan.

Tambahan pula, sebahagian besar kawasan masjid dikelilingi Tasik Putrajaya menjadikan Masjid Putra kelihatan terapung di permukaan tasik yang menyerlahkan keunikan tersendiri.

Masjid Putra dibina di atas tapak berkeluasan 1.37 hektar pada Jun 1997, mula beroperasi sepenuhnya pada 30 Ogos 2000 membabitkan kos kira-kira RM250 juta.

Tasik buatan manusia itu mempunyai kepanjangan 15 kilometer (km), kelebaran 5km dan kedalaman 15 meter. Air tasik berkenaan berperanan menyejukkan ruang dalam Masjid Putra.

Secara keseluruhannya, konsep reka bentuk Masjid Putra berdasarkan seni bina Parsi zaman kerajaan Safawe yang digabungkan dengan ciri-ciri moden kontemporari menggunakan pendekatan sains dan teknologi.

Reka bentuk menara dikatakan mirip struktur Masjid Sheikh Omar di Baghdad, Iraq tetapi disesuaikan dengan ciri tradisional Melayu pada mimbar, pagar dan ukiran direka (masyrabiah) menjadikan ia begitu unik.

Pengkaji seni reka Masjid Putra, Raja Aman Shah Raja Shahruzzaman berkata, konsep reka bentuk bertingkat menjadikan masjid itu mempunyai identiti tersendiri dan jelas dapat dilihat dari aras ke aras dengan pelbagai elemen menarik.

Katanya, Masjid Putra terbahagi kepada empat tingkat iaitu aras bawah menggambarkan konsep terbuka yang tiang berbentuk payung dan ukiran direka (masyrabiah) dapat memberi perlindungan daripada hujan serta panas.

Raja Aman berkata, di sekeliling bahagian dalam dewan solat ditulis dalam bentuk khat (nasakh) Surah Hujurat pada permukaan jubin berwarna putih.

“Aras bawah menempatkan struktur dinding yang menyerupai benteng (butress wall) dibina sekeliling aras ini bagi menunjukkan imej pertahanan yang kuat.

“Aras atas menampilkan kubah utama berwarna merah jambu dan reka bentuknya berasaskan arabesque iaitu ukiran berkonsepkan tumbuh-tumbuhan seperti terdapat pada kubah masjid di Mesir.

“Manakala di aras satu terdapat empat muqarnas iaitu seni bina kerawang tiga dimensi dengan hiasan kaca yang membentuk empat penjuru dewan solat utama. Konsep terbuka jelas kelihatan dengan adanya tingkap dan pintu kaca besar yang dihiasi masyrabiah,” katanya kepada Nuansa.

Jelasnya, seni bina tradisional digunakan di masjid terbabit bagi mengharmonikan perubahan bentuk segi empat (Dewan Solat) kepada bentuk bulat (kubah) dengan memperkenalkan segi lapan (oktagon) sebagai bentuk perantaraan.

Katanya, seni reka bentuk Timur Tengah digunakan pada kubah, mihrab, menara, pintu gerbang, dinding dan benteng serta jubin lantai. Tingkap kaca (stained glass) datangnya dari Jerman membantu pencahayaan secara semulajadi ke dalam ruangan solat.

“Kubah utama diperbuat daripada batuan granit yang diimport dari Arab Saudi berbentuk oktagon berfungsi sebagai pengaliran udara ke dalam masjid.

“Lapan kubah kecil disekelilingnya diperbuat daripada mozek. Di atas kubah pula ada apex (seperti besi lurus menegak ke langit) yang dihasilkan daripada campuran tembaga, suasa dan sedikit emas supaya warna kubah tidak pudar akibat pancaran matahari,”katanya.

Beliau yang juga pemandu pelancong Masjid Putra berkata, menara itu dikatakan ada persamaan dengan menara di Masjid Sheikh Omar di Baghdad, Iraq berbentuk segi lapan, setinggi 116 meter bersamaan ketinggian lima tingkat bangunan yang melambangkan solat lima waktu serta rukun Islam.

Menurut Raja Aman, uniknya menara berkenaan ialah ia berdiri di atas lantai dan bukan dibina atas tanah.

Raja Aman berkata, pintu gerbang masjid itu diilhamkan reka bentuknya dari rekaan Masjid Raja Hassan di Casablanca, Maghribi yang mempunyai pintu gerbang yang tertulis potongan ayat daripada surah al-Jumu’ah.

Katanya, manakala dinding dan benteng pula kelihatan mempunyai persamaan Masjid King Hassan II di Casablanca, Maghribi.

Katanya, kehebatan dan keunikan Masjid Putra diperkukuhkan dengan mimbar masjid yang rekaannya diilhamkan daripada ukiran bermotifkan bunga-bungaan dan ciri-ciri geometrikal pada cengalnya.

Selain itu katanya, Masjid Putra dianggap sebuah masjid yang boleh dijadikan model pada abad ini menerusi pelbagai aktiviti pusat sehenti dijalankan selari dengan peranannya sebagai pusat perkembangan tamadun dan syiar Islam. - Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 12:29pm
d