nuansa

Air bersih untuk 100 keluarga

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Petronas Dagangan Berhad (PDB) mengambil inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan melaksanakan Program Air Untuk Kehidupan bagi penduduk kampung yang memerlukan bekalan air bersih.

Program dilaksanakan sejak 2013 bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia itu sudah dilaksanakan di 12 kampung di seluruh negara.

Menerusi program berkenaan, PDB memasang saluran paip lengkap dengan sistem penapisan ke tangki tadahan yang disediakan di setiap kampung.

Ketua Komunikasi Korporat Strategik PDB, Ruziah Azdi Abd Rahman berkata, program di Kampung Dusun Kubur di Jelebu, Negeri Sembilan bakal memberi kemudahan kepada 350 penduduk daripada 100 keluarga.

Katanya, pihaknya bersama 70 sukarelawan dan penduduk bergotong-royong memasang paip sepanjang 4.5 kilometer dari kawasan tadahan empangan Sungai Pertang.

Katanya, kerja memasang paip dijalankan sejak dua minggu lalu dan sudah siap sepenuhnya sebelum bekalan air disalurkan ke dalam tangki tadahan.

“Ini tahun keempat program ini dilaksanakan dengan sasaran penduduk luar bandar dan jauh di pedalaman. Kami mencari sumber air sungai semula jadi yang bersih dan belum tercemar sebelum disalurkan kepada penduduk biarpun sumber berkenaan jauh dari perkampungan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Program dirasmikan Pegawai Daerah Jelebu Azman Abdullah. Hadir sama, Ketua Bahagian LPG PDB Ramzulhakim Ramli.

Ruziah Azdi berkata, tahun lalu tiga kampung di Mersing, Johor; Dungun, Terengganu dan Serian, Sarawak menerima manfaat daripada program PDB sama.

Katanya, ketika itu PDB memasang paip sepanjang 2.2 kilometer, 43 tangki simpanan, enam sistem penapis air dan empat pam membekal air yang memberi manfaat kepada 1,750 penduduk di tiga kampung berkenaan.

“Program air untuk kehidupan di Kampung Dusun Kubur adalah pertama diadakan tahun ini dan berharap PDB dapat menjayakan program sama di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kalimoi Asli berkata, pihaknya gembira dengan program diadakan PDB bagi kesejahteraan penduduk kampung berkenaan.

Katanya, ia sekali gus menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang membelenggu penduduk kampung sebelum ini.

Pada program berkenaan, PDB turut menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada 20 kanak-kanak tabika kemas kampung berkenaan selain sumbangan makanan kepada dua keluarga dan sumbangan makanan ringan serta buku daripada rakan niaga.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 11:38am
d