nuansa

Masjid As-Salam taraf 5 bintang

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Masjid As-Salam di Puchong Perdana memiliki beberapa keistimewaan yang menjadikannya begitu unik dan menarik.

Bukan saja diiktiraf sebagai masjid bertaraf lima bintang tetapi turut dikenali sebagai masjid terapung kerana 70 peratus struktur binaannya dibina di atas tasik daripada bekas lombong.

Ia memberikan panorama menarik kepada pengunjung kerana boleh menyaksikan keindahan matahari terbenam pada waktu petang.

Dibina pada 2004 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 2006, masjid berkenaan menjadi salah satu mercu tanda utama di kawasan Puchong.

Apa yang menarik mengenai Masjid As-Salam ialah menjadi masjid pertama di Selangor yang menyediakan kemudahan lif kepada jemaah khususnya warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Pengurus masjid berkenaan Mohammad Salami Masri berkata, kemudahan lif digunakan pada tahun lalu dan kos pemasangannya melebihi RM100,000.

“Inisiatif ini dilakukan bagi memudahkan jemaah OKU dan warga emas yang berhadapan kesulitan menaiki tangga masjid untuk ke dewan solat.

“Tangga masjid ini agak tinggi dan curam menyukarkan mereka menaikinya selain pihak pengurusan menerima banyak rungutan mengenai masalah itu,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, Masjid As-Salam dibina menggabung­kan elemen reka bentuk Timur Tengah yang disesuaikan dengan sentuhan bentuk moden.

“Reka bentuk masjid ini dikatakan mirip Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Terengganu, Masjid Tanjung Bunga di Pulau Pinang dan Masjid Putra, Putrajaya yang dibina di atas tasik.

“Namun begitu, ia tetap memiliki kelebihan tersendiri bagi menyerlahkan nilai eksklusifnya,” katanya.

Beliau berkata, masjid berkenaan terbahagi kepada tiga tingkat iaitu aras bawah menempatkan pejabat pentadbiran, dewan seminar, perpustakaan dan dewan serba guna.

“Aras satu ialah dewan solat utama untuk jemaah lelaki dan perempuan.

“Aras dua pula digunakan sebagai tabika Islam, kelas tahfiz dan ruang solat Jumaat dan hari raya,” katanya.

Menurutnya, seni reka Timur Tengah digunakan pada kubah utama dan dua kubah kecil, menara dan mihrab.

“Kombinasi antara warna emas pada kubah dan bangunannya pula berwarna kuning air menonjol keindahan masjid itu.

“Warna putih di dalam masjid menimbulkan suasana ketenangan kepada jemaah sewaktu menunaikan solat,” katanya.

Katanya, mihrabnya ditulis dengan zikrullah yang memuji kebesaran Allah, ayat kursi dan ayat 144 surah al-Baqarah.

Jelasnya, antara pencapaian lain dicapai masjid itu ialah menerima Anugerah Masjid Terbaik Negeri Selangor pada 2009, 2011 dan 2014 serta Juara Anugerah Masjid Malaysia 2014.

Katanya, masjid itu juga aktif mengadakan pelbagai aktiviti bertepatan dengan visinya menjadikan Masjid As-Salam sebagai pusat ibadah, penyebaran dakwah, perkembangan ilmu dan budaya Islam terkemuka.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 11:41am
d