nuansa

Sedia pendidikan, kecekapan, kepakaran

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Dahulu, tangga kayu digunakan sebagai alat untuk memudahkan kerja tukang di tempat tinggi khususnya ketika pembinaan rumah.

Selepas inovasi pembangunan memperkenalkan binaan bangunan puluhan tingkat, komponen peralatan lebih praktikal seperti ‘scaffolding’ atau perancah direka untuk melancarkan kerja jurubina.

Struktur yang kebiasaannya diperbuat daripada kayu dan besi itu dipasang di sekeliling atau di dalam bangunan lengkap dengan landasan rata.

Penggunaan perancah memberi kemudahan kepada pekerja untuk memanjat dan bergerak sewaktu membuat kerja memasang, membaiki atau menyelenggara bangunan dalam pelbagai industri termasuk minyak dan gas serta binaan.

Walaupun struktur perancah dilihat lebih stabil berbanding tangga condong, ia mampu bertukar menjadi bahaya sekiranya dipasang tanpa mengikut sistem piawaian.

Selain kemalangan berpunca kelemahan pemasangan, penggunaan melanggar peraturan seperti muatan melebihi had juga membawa risiko roboh yang boleh mengakibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

Berikutan itu, peraturan khas mengendalikan struktur perancah dalam industri digubal bagi jaminan keselamatan semua.

Badan khas diwujudkan bagi memantau penggunaan perancah dengan bantuan pihak diberikan kuasa untuk memberi latihan dan meluluskan sesuatu pembinaan perancah.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) berperanan mengawal selain mengetahui berat yang boleh ditampung sesuatu perancah.

Bagi menggalakkan pembinaan dan penggunaan scaffolding yang lebih selamat, MKRS Group of Companies (Kumpulan MKRS) menyediakan pendidikan, kecekapan, kepakaran dan pemeriksaan perancah antarabangsa untuk sistem industri serta amalan standard.

Syarikat perintis itu menyumbang dalam industri perancah tempatan yang mengikut peraturan dan garis panduan ketat bagi mencapai tahap keselamatan mantap, cekap serta berkesan.

Kumpulan MKRS dikatakan menjadi institut latihan pertama menyediakan latihan seumpama itu dengan mendapat sokongan kerajaan tempatan dan badan antarabangsa.

Kini ia beroperasi di peringkat antarabangsa dengan pengalaman menyeluruh dalam pengendalian pelbagai projek swasta dan kerajaan.

Selain itu, syarikat berkenaan turut memberi perkhidmatan kepada kontraktor terkemuka dalam bidang mekanikal dan kejuruteraan khususnya bagi projek industri minyak serta gas.

Antara organisasi terbabit seperti Negeri Sembilan Cement Plant, Lafarge Malaysia, Petronas Lube Blending, Vale Mineral Malaysia dan PETRONAS.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kumpulan MKRS Datuk Dr Saravanan Karrupayah berkata pihaknya sudah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan diberi kuasa Institut Latihan Perancah (STI) dari Houston, Amerika Syarikat.

“Taraf latihan kami diakui sebagai pakar penyedia skil latihan perancah taraf dunia,” katanya.

Pengarah Eksekutifnya Datuk Mohamad Ridza Ilias pula berkata, syarikat yang mengendalikan penilaian latihan dan akreditasi memanfaatkan itu berpengalaman luas dalam penyediaan pelbagai peringkat latihan.

“Kami menyediakan latihan dalaman asas kecekapan dengan pelbagai kemudahan perancah yang canggih selain memberi kelulusan Penilaian Perunding Perancah Industri di tapak pembinaan.

“Antara peserta latihan adalah pengurus projek, pengurus HSE, pegawai keselamatan, penyelia keselamatan tapak, jurutera tapak, kontraktor dan arkitek, penyelia dan juruteknik, pegawai berkaitan serta ahli jawatankuasa keselamatan dan kesihatan,” katanya.

Difahamkan, Kumpulan MKRS melatih lebih 1,500 peserta termasuk 400 dari luar negara dan peserta antarabangsa meliputi dari China, India, Vietnam, Singapura, Bangladesh, Nepal dan Indonesia.

Latihan bertujuan memberi kefahaman menyeluruh mengenai kecekapan berdasarkan teori di peringkat asas, pertengahan dan lanjutan termasuk keperluan keselamatan dan bantuan dalam mengenal pasti substandard perancah.

Diiktiraf Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), latihan yang dilaksanakan turut mengikut keperluan CEP (Program Pendidikan Berterusan) demi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kecekapan perancah selain mengikuti perkembangan terkini mengenai keperluan industri.

Peserta juga dapat melatih dan memantap kemahiran teras perancah termasuk cara mendirikan, mengubah suai dan menanggal struktur.

Selain itu, peserta dapat meningkatkan pengetahuan, memasang, memahami sistem keseluruhan perancah dan prosedur antara jenis bingkai, tiub dan jenis modular.

Sijil turut diberikan sebagai bukti latihan dan prasyarat keperluan untuk kebanyakan projek.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 12:02pm
d