nuansa

Warisan budaya Pulau Pinang

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Mengagumkan apabila keunikan dan keindahan warisan di negeri ini diterjemahkan dalam bentuk lukisan oleh enam pelukis anak kelahiran Pulau Pinang.

Lukisan bertemakan ‘Arts, Herritage and Architecture’ (A.H.A) yang berlangsung sejak 28 Julai hingga 6 Ogos ini dipamerkan di Dewan Chapel, St Jo’s di Gurney Paragon Mall.

Enam pelukis terbabit ialah Datuk Chong Hon Fatt, Khoo Cheang Jin, Koay Shao Peng, Koay Sheng Tat, Ar Mei Chee Seong dan Simon Tan yang masing-masing mempamerkan enam karya terbaik mereka.

Tema seni, warisan dan seni bina itu dipilih bagi mempromosikan keunikan warisan budaya dibanggakan rakyat Pulau Pinang dan seni binaan bangunannya penuh bersejarah.

Bagaikan merentas masa, gabungan pelukis baru dan lama itu menyaksikan pertembungan karya indah dan bermakna menerusi perspektif masing-masing.

Pelukis ‘otai’, Chong, 76, berkata dia menerima dengan hati terbuka ketika ditawarkan menyertai pameran terbabit berikutan memang gemar melukis pemandangan serta senario warisan di bandar raya Georgetown.

Beliau berkata, semua lukisan dipamerkan itu dilukis menggunakan medium cat air di atas kanvas selain gemar bermain dengan warna terang.

“Saya gemar melukis pemandangan setempat terutama perkampungan nelayan dan jeti kerana apabila diterjemahkan menerusi lukisan, ia mewujudkan satu perasaan dekat dengan kehidupan itu serta unik.

“Saya gembira dapat bergabung dengan semua pelukis dan semoga mereka terus berkarya terutama dalam mempromosikan negeri ini menerusi lukisan masing-masing,” katanya yang berpengalaman selama 60 tahun dalam bidang berkenaan.

Selain di Malaysia, Chong turut aktif menyertai pameran di beberapa negara termasuk Singapura, China, India, negara Eropah dan Asia Tenggara.

Sementara itu, Simon, 50, yang berasal dari Tanjung Bungah, berkata bagaikan satu penghargaan kepada anak tempatan sepertinya menyertai pameran mempertaruhkan lukisan bertemakan keunikan negeri kelahirannya.

Sebagai pelukis, katanya, dia sering bereksperimen dengan teknik baharu dalam menghasilkan lukisan yang baik serta bernilai tinggi.

“Saya mula menghasilkan lukisan pada 1991 menggunakan beberapa medium termasuk warna air di atas kertas, namun sejak 2001 hingga kini, saya belajar menggunakan warna air ke atas kanvas.

“Materialnya sedikit berlainan, malah cara penyampaian dan perasaan kita ketika menghasilkan lukisan adalah berbeza,” katanya.

Chong dan Simon ditemui ketika majlis pelancaran pameran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Pulau Pinang Danny Law Heng Kiang. Hadir sama, Pengerusi Persekutuan Hartanah Antarabangsa Malaysia (FIABCI) Cawangan Pulau Pinang yang juga Pengerusi Eksekutif Hunza Properties Berhad Datuk Khor Teng Tong dan Pengarah Festival Georgetown Joe Sidek.

INFO

• Tema: Arts, Herritage and Architecture (A.H.A)

• Lokasi: Dewan Chapel, St Jo’s, Gurney Paragon Mall

• Tarikh: 27 Julai hingga 6 Ogos 2017

• Masa: 10 pagi hingga 5 petang.

• Harga: RM2,000 hingga RM8,000

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 12:47pm
d