nuansa

Pulihkan Sungai Moyog

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Sungai Moyog di Penampang, Sabah pernah diibaratkan seperti ‘tong sampah’ kerana dipenuhi banyak sampah sarap daripada sisa buangan domestik dan industri akibat pembangunan perindustrian serta perumahan.

Masalah itu berlaku selama hampir 30 tahun bermula sekitar 1970-an hingga 2000 yang menyebabkan sungai berkenaan tercemar teruk sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan generasi lama.

Ini kerana suatu ketika dahulu Sungai Moyog sangat bersih dengan air yang jernih sehingga nampak ke dasarnya dengan jelas. Ia juga pernah menjadi sumber utama serta nadi kehidupan bagi penduduk Sabah terutama di kawasan Penampang.

Difahamkan, pencemaran Sungai Moyog berlaku apabila sungai berkenaan tidak lagi penting kepada masyarakat akibat kemajuan pembangunan dan akhirnya sungai itu menjadi tempat pembuangan sampah oleh penduduk serta kilang berhampiran sungai.

Banyak hidupan akuatik terutama ikan mati akibat pencemaran dan mendorong sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Komuniti Mengetuai Kesedaran Alam Sekitar Untuk Sungai Kita (CLEAR) mengambil inisiatif berusaha menggalakkan kesedaran masyarakat mengenai pemuliharaan sungai.

CLEAR menerima dana di bawah Geran Pembangunan Mampan Shell daripada Shell Malaysia berjumlah RM100,000 dari 2015 hingga 2016 bagi melaksanakan program Pemulihan dan Pemantauan Kualiti Air Sungai Moyog.

Baru-baru ini, penulis menyertai Lawatan Media ke Sabah anjuran Shell Malaysia dan berpeluang menyusuri Sungai Moyog sejauh tujuh kilometer (km) untuk melihat kedaan sungai serta perkembangan terkini projek berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian penulis, meskipun warna air sungai itu seperti teh tarik tetapi banyak perubahan berbanding sebelum ini dan sampah di permukaan sungai juga terlalu sedikit di bahagian tertentu Sungai Moyog.

Pengerusi CLEAR Winnie Jimis berkata, CLEAR ditubuhkan pada 12 Februari 2012 oleh komuniti yang tinggal berhampiran Sungai Moyog.

Beliau berkata, objektif penubuhannya ialah untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan penduduk mengenai pembersihan sungai, menggalakkan mereka bekerjasama untuk pemuliharaan sungai dan meningkatkan kualiti kehidupan komuniti dengan memperkenalkan ekopelancongan berasaskan sungai.

“Usaha pemulihan Sungai Moyog bermula dengan menjalankan aktiviti bersama masyarakat di sekitar sungai berkenaan.

“Melalui geran yang diterima di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), kita (CLEAR) memulakan aktiviti pembersihan di sepanjang sungai itu, mendidik masyarakat menguruskan sisa buangan dari rumah dengan lebih berkesan selain menganjurkan Hari Sungai Sedunia dan Pesta Rakit,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, CLEAR bersama komuniti setempat turut melaksanakan Sistem Tagal di Sungai Moyog iaitu larangan menangkap ikan kepada penduduk untuk tempoh tertentu bertujuan pemuliharaan habitat terutama ikan di sungai berkenaan.

Menurutnya, pada 2015 pemantauan kualiti air Sungai Moyog dilakukan di sepanjang 18km sungai terbabit yang merangkumi 13 titik pemantauan bermula di Kampung Kibunut sehingga ke Cybercity.

“Kerja pemantauan dilakukan oleh belia kampung diketuai Kordinator Teknikal CLEAR Noel Seanundu Kely Jitilon untuk membuat perbandingan bacaan kualiti air pada bahagian hulu dan hilir Sungai Moyog.

“Bacaan kualiti air di setiap titik pemantauan adalah berbeza dan bahan pencemar ditemui antaranya ialah nitrat serta fosfat.

“Bacaan kualiti air Sungai Moyog semakin baik berbanding tahun lalu dan usaha pemulihan ini terus giat dilakukan,” katanya.

Katanya, beliau berharap Sungai Moyog dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang dan menjadi salah satu destinasi pelancongan di Sabah.

Selain itu, sebuah pertubuhan berasaskan komuniti (CBO) iaitu Rakan Kongsi Organisasi Masyarakat (PACOS Trust) juga menerima Geran Pembangunan Mampan Shell Malaysia.

Pengarah Eksekutif PACOS Trust Anne Lasimbang berkata, pertubuhan itu berperanan memberi sokongan kepada komuniti di Sabah.

“PACOS Trust juga berusaha memperkasakan komuniti menerusi pembangunan sistematik dan pembentukan organisasi yang kukuh secara kolektif.

“Tahun ini, kita menerima geran berjumlah RM51,500 untuk membantu PACOS Trust membina Tapak Demonstrasi Komuniti yang akan memberi manfaat kepada masyarakat pendalaman Sabah untuk mengamalkan pertanian sara hidup.

Katanya, projek itu merangkumi aspek komersial yang akan membantu petani sara hidup memasarkan hasil ada harga bersesuaian di pasaran berkaitan.

Dalam pada itu, Anne berkata, PACOS Trust turut bekerjasama membantu CLEAR dalam usaha pemuliharaan Sungai Moyog dengan menyediakan kira-kira 3,000 bebola lumpur untuk pembersihan sungai berkenaan pada September ini.

Disiarkan pada: August 4, 2017 @ 12:56pm
d