nuansa

Nostalgia penggunaan sampul surat

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Lukisan adalah reaksi pelukis terhadap keadaan sekeliling dan kehidupan, sebab itu terdapat banyak karya seni berbeza mengikut idea masing-masing.

Bagaimanapun, keunikan hasil seni 30 pelukis boleh dihayati di Pameran Platform 3 Thrownness (Geworfenheit) di Galeri Chandan yang berlangsung sehingga esok.

Pameran berkenaan mempamerkan 30 karya artis muda yang terdiri daripada pelbagai genre seperti realisme, abstrak, semi abstrak dan moden.

Bagi pelukis Megat Zaim Zhafir Megat Nawawi, dia menggunakan anak buahnya yang berusia dua tahun sebagai subjek terhadap visual lukisan ilustrasi sampul surat dihasilkannya pada Mei lalu.

Katanya, dia memilih visual itu untuk mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan peranan dan penggunaan sampul surat satu masa dahulu sebelum teknologi berkembang.

“Dahulu saya suka menulis surat dan menghantarnya kepada rakan bukan sekadar untuk bertanya khabar, tetapi juga berkongsi masalah dengan mereka.

“Dalam surat ini juga, pembaca boleh mengesan emosi penulis berdasarkan bentuk tulisan tangannya,” katanya kepada Nuansa.

Megat Zaim Zhafir berkata, mesej tersirat karya berkenaan adalah berdasarkan visualnya apabila pelukis perlu mempunyai ciri-ciri seperti kanak-kanak itu.

“Kanak-kanak walaupun dihalang tetap dengan keinginan mereka untuk menconteng terutama pada dinding rumah.

“Di situ kita lihat sikap berani dan tidak berputus asa kanak-kanak yang perlu dimiliki pelukis muda jika ingin berjaya,” katanya yang menghasilkan lukisan menggunakan medium campuran media seperti akrilik, pensil, kayu dan pen.

Sementara itu kurator pameran berkenaan Nazrul Hamzah Md Azman berkata, pameran terbabit diadakan sebagai landasan untuk ketengah bakat artis muda terutama yang baru menamatkan pengajian supaya dikenali.

“Pameran Platform 3 ini adalah kesinambungan Pameran Platform 2 dan pertama yang lalu,”katanya.

Penonton boleh mengunjungi Galeri Chandan di Publika Shopping Gallery untuk melihat himpunan karya mengagumkan serta memukau pandangan.

INFO

PAMERAN PLATFORM 3 THROWNNESS (GEWORFENHEIT)

• Artis : 30

• Jumlah Karya : 30

• Lokasi : Galeri Chandan, Lot 24&25, Level G4, Blok C5 Publika Shopping Gallery Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur.

• Tarikh : 28 Julai hingga 19 Ogos 2017

• Masa : 10 pagi hingga 5 petang

• Facebook : www.facebook.com/galerichandan

• Instagram : @galerichandan

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 12:01am
d