nuansa

Mesej penyatuan rakyat Malaysia

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Suatu masa dahulu, perpaduan rakyat di negara ini yang berbilang kaum begitu kuat tanpa sebarang jurang.

Namun kini, kemesraan itu semakin hilang bahkan kelihatan pelik sekiranya mempunyai hubungan akrab dengan sahabat berlainan bangsa.

Seorang pelukis yang terbabit dalam Pameran Merdeka: Unity & Diversity menggunakan kesempatan itu untuk mengimbau kembali kenangan terbabit yang diterjemahkan dalam lukisannya bertajuk My Best Friend.

Pameran yang diadakan di Balai Seni Negara itu mempamerkan 60 karya daripada 22 pelukis tempatan sempena sambutan 60 tahun kemerdekaan negara yang terdiri daripada pelbagai genre.

Berlangsung sejak 5 Ogos hingga 31 Ogos ini dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Rozlina Mohd Khairi berkata, karya genre temporari yang dihasilkannya membawa mesej mengenai penyatuan rakyat di negara ini yang menggunakan orang Melayu, Cina dan India sebagai visualnya.

“Lukisan ini menerapkan nilai persahabatan yang boleh dibentuk walaupun berlainan bangsa, agama dan budaya.

“Ia adalah sebahagian kenangan saya sewaktu bersekolah yang pelajarnya terdiri daripada berbilang bangsa.

“Dahulu saya rapat dengan rakan berbangsa Cina dan India selain boleh berkongsi cerita bersama mereka menjadikan bilangan rakan cukup ramai,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan perlu dihayati diamalkan supaya semangat perpaduan dapat diperkukuhkan semula.

Apa yang pasti karya menggunakan akrilik atas kanvas dihasilkan Rozlina begitu menarik selain melukisnya menggunakan tangan tanpa bantuan alatan lain seperti pembaris.

Sementara itu Ketua Pengarah Balai Seni Negara Profesor Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, matlamat penganjuran pameran itu untuk menonjolkan kepelbagaian budaya dan kesenian kepada rakyat di negara ini.

Katanya, ia juga salah satu usaha untuk menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan kerjasama yang ditonjolkan menerusi karya yang dipamerkan.

Bagi yang ingin menghayati keindahan hasil seni pelukis lain boleh mengunjungi Balai Seni Negara dari jam 10 pagi hingga 5 petang pada hari Isnin hingga Jumaat.

INFO

PAMERAN MERDEKA:­ UNITY&DIVERSITY

• ARTIS : 22

• KARYA : 60

• TARIKH : 5 hingga 31 Ogos 2017

• LOKASI : Balai Seni Negara, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

• TELEFON : 03-40267000

• LAMAN WEB : www.artgallery.gov.my

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 12:53pm
d