nuansa

Pilih tema seniman legenda

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Meskipun karya kartunis atau pelukis kartun dilihat lebih mengetengahkan unsur jenaka bagi tujuan hiburan, sebenarnya mereka turut mempunyai elemen pendidikan di samping memberikan mesej berguna kepada masyarakat.

Ini terutama pemilihan tema yang memberi penegasan kepada figura seperti pemimpin negara, seniman dan seniwati, selebriti komedi, pelukis tersohor tanah air, atlet negara dan antarabangsa, tokoh organisasi serta usahawan berjaya.

Sebagai contoh, kartunis Katon Azhari yang memilih tema seniman dan seniwati dalam menghasilkan 55 karyanya yang dipamerkan dalam Pameran Kartunis Malaysia di Balai Seni Negara.

Selain Katon Azhari, tujuh lagi kartunis terkenal tanah air turut terbabit dalam pameran berkenaan ialah Imuda, Don, Aie, Yaz Malee, Oly, Maro dan Oren.

Pameran itu memperlihatkan karya curahan rasa penghargaan dan kekaguman kepada tokoh penting negara dalam pelbagai bidang.

Namun, terdapat juga persembahan karikatur yang memberi respons kepada pelaku isu semasa serta gambaran peristiwa diadaptasi daripada kisah sebenar.

Katon berkata, dia melukis gambar Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Saloma, Allahyarham Ibrahim Pendek, Allahyarham S Shamsudin dan Allahyarham Aziz Sattar.

“Saya pilih tema ini kerana mahu memperkenalkan wajah seniman dan seniwati kepada generasi muda yang kebanyakan tidak mengenali mereka.

“Sedangkan jasa mereka (seniman dan seniwati) terhadap industri seni tanah air cukup besar. Mereka adalah pejuang seni sebenar kerana menjadi penyanyi dan pelakon bukan kerana wang tetapi disebabkan nilai seni itu sendiri,” katanya kepada Nuansa.

Agak mengagumkan apabila melihat hasil seni Katon yang walaupun menggunakan medium lukisan digital tetapi hasil seni kelihatan seperti dilukis menggunakan tangan.

Katanya, antara tujuan lain yang ingin disampaikan ialah memberi pendedahan bahawa lukisan digital yang dilukisnya sama seperti atas kanvas tetapi kanvas itu secara alam maya.

“Kelebihan menggunakan medium ini (lukisan digital), karya boleh dicetak berulang kali berbanding kaedah lama iaitu dilukis menggunakan tangan.

“Lukisan digital sudah lama terkenal di luar negara dan ramai kartunis tanah air sudah mula beralih kepada medium ini (lukisan digital),”katanya.

Sementara itu, Penolong Kurator Balai Seni Negara Rohaitulraha Abd Rahman berkata, pameran berkenaan diadakan untuk memberi gambaran menarik dalam menelusuri perkembangan perintis seni karikatur tanah air dengan menonjolkan pelbagai gaya dan elemen jenaka.

“Berbeza dengan karya seni lain, karikatur lebih bersifat terarah dan mempunyai pesanan jelas serta segera yang dapat difahami oleh masyarakat.

“Sifat karikatur diistilahkan sebagai melebih-lebihkan dan ‘overdone’ yang bermaksud membesar-besarkan dalam bentuk santai, mudah difahami dan terselit humor yang dijadikan medium menyatakan perasaan, nasihat, malah sindiran berasas.

“Manakala ciri-ciri karikatur seperti terdapat beberapa perubahan anatomi dengan membesarkan saiz kepala manusia melahirkan impak lelucon,”katanya.

Katanya, dalam pameran itu juga dapat melihat dengan jelas perbezaan gaya penyampaian gurisan, warga dan persembahan unik setiap pelukis. Masing-masing mempunyai ‘stail’ serta kekuatan sendiri.

Disiarkan pada: September 29, 2017 @ 12:50pm
d