nuansa

Seni dalam konflik dunia

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Persidangan seni persembahan terkemuka di Asia Tenggara, Borak Art Series sekali lagi membuka tirai penganjurannya pada 14 dan 15 Oktober ini di MAPKL Publika, Kuala Lumpur.

Persidangan yang mula diperkenalkan pada 2013 itu bakal menerima kehadiran 760 perwakilan dari 20 negara terdiri daripada 17 pengarah festival antarabangsa, 32 pihak berkepentingan dan barisan penaja tempatan serta antarabangsa.

Persidangan yang masuk kali kelima penganjurannya itu inisiatif My Performing Arts Agency (MyPAA).

Borak Art Series mengumpulkan artis, penerbit, penyampai, perantara dan penaja untuk bertemu dalam satu program skala besar dengan menyelitkan pelbagai acara seperti ucaptama, perbincangan panel, sesi meja bulat, platform membina rangkaian dan persembahan.

Tetamu istimewa yang akan memberi ucaptama persidangan itu adalah pengasas Cambodian Living Arts, Arn-Chorn Pond dengan topik ‘Kepentingan Kesenian dan Budaya bagi Menangani Konflik serta Pembangunan Mampan’.

Pada usia 11 tahun, Arn-Chorn melalui pengalaman getir pembunuhan beramai-ramai rejim Khmer Rouge yang menyaksikan kematian sehingga 90 peratus artis atau pengkarya di Kemboja.

Beliau antara beberapa yang terselamat daripada tragedi berkenaan dan nekad memelihara sisa seni tradisional Kemboja.

Beliau berkelana ke seluruh negara dan mencari pengamal seni yang masih hidup serta mewarisi nilai kesenian kepada generasi muda.

Antara pengamal industri yang bakal hadir dan berkongsi kepakaran adalah Suon Bun Rith (Cambodian Living Arts), Dr Joseph Gonzales (The Hong Kong Academy for Performing Arts), Chumpon Apisuk (Asiatopia, Thailand), Kok Heng Leun (Drama Box, Singapura), June Tan (Five Arts Centre, Malaysia), Dr Takuya Kaneda (Otsuma Women’s University, Jepun), Norzizi Zulkifli (BFM 89.9, Malaysia), Nadira Ilana (penulis dan pembikin filem Malaysia) dan Faiza Mardzoeki (Institut Ungu, Women’s Arts & Cultural Space, Indonesia).

Persidangan kali ini juga bakal mengetengahkan beberapa topik seperti ‘Pendidikan Seni dan Budaya: Semalam dan Hari Esok’, ‘Politik, Aktivisme dan Seni. Bagaimana Kami Sokong untuk Kebebasan Berekspresi dan Hak Budaya di Asia Tenggara’ dan ‘Adakah Polisi Relevan kepada Artis’.

Ketengah tema kebebasan berekspresi

Pengarah dan pengasas bersama MyPAA Brian Johnson Lowe berkata, tema persidangan tahun ini antara paling menarik kerana kebebasan berekspresi adalah keistimewaan yang tidak dapat dinikmati semua.

“Artis memanfaatkan seni sebagai alat menzahirkan kebimbangan dan pendapat dengan cara tersendiri atau mencipta gambaran dunia yang lebih baik namun, ada juga berpendapat seni mampu memberi impak.

“Persidangan ini bakal menyentuh topik berkenaan bagi mewujudkan perbualan interaktif mengenai semua elemen berkaitan komuniti kebudayaan dan kesenian di rantau ini,” katanya.

Selain itu, MyPAA akan menaja perjalanan kepada 10 artis dari beberapa negara Asia Tenggara (kecuali dari Semenanjung Malaysia) untuk menyertai persidangan berkenaan.

Menurut Lowe, MyPAA sentiasa berusaha menyampaikan ilmu serta pengetahuan yang dapat menyumbang kepada perkembangan seni serta budaya.

Ia bukan saja menjadi paltform untuk membina rangkaian, tapi turut membawakan artis beraspirasi, penggerak dan penggoncang dari komuniti seni persembahan serta Asia Tenggara.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 1:33pm
d