nuansa

Taoyan bandar mesra muslim

Oleh Suliati Asri

Persembahan tarian yang unik dan mempesona dengan memaparkan keenakan makanan tradisional Taoyuan seperti kacang kering Daxi, mi beras Longgang, gula kacang Longtan dan teh sememangnya cukup mengujakan.

Rata-rata tetamu yang hadir pada acara promosi pelancongan dan majlis makan makan yang dianjurkan kerajaan bandar Taoyuan di Hotel Istana, baru-baru ini teruja.

Matlamat utama penganjuran acara promosi pelancongan kali ini bukan saja untuk membina platfom kerjasama dua hala, malah juga untuk mengembangkan pasaran pelancongan Muslim secara aktif.

Berikutan langkah kerajaan Taiwan menawarkan pengecualian visa juga, jumlah kedatangan pelancong dari Asia ke negara itu meningkat dengan ketara.

Peningkatan itu juga dirasai di Bandar Taoyuan, yang terletak lebih kurang 40 kilometer dari barat Taipei.

Mengikuti statistik Biro Pelancongan Bandar Taoyun, kadar penginapan pelancong Malaysia dan Singapura di Taoyuan juga masing-masing meningkat sebanyak 27 peratus dan 23 peratus berbanding tahun lalu.

Kerajaan bandar Taoyuan sedar akan potensi perkembangan yang amat besar dalam sektor pelancongan. Justeru, ia terus bekerjasama dengan China Airlines dalam melancarkan pakej penerbangan dan penginapan di samping mengendalikan penyertaan Koperasi Metro Taoyuan, pengusaha industri penginapan tempatan, restoran serta kedai cenderahati dalam pelbagai aktiviti promosi pelancongan Taoyuan yang berlangsung di Malaysia dan Singapura demi meneroka dan meluaskan pasaran industri pelancongannya.

Pengarah Kementerian Pelancongan Taoyuan, Yang Sheng-Ping berkata, terdapat tujuh masjid di seluruh Taiwan dan dua daripadanya adalah Masjid Longgang dan Masjid Dayuan yang terletak di Taoyuan.

Katanya, Taoyuan juga meraih tempat kedua di seluruh Taiwan bagi kategori tempat penginapan dan restoran yang mesra pengunjung Muslim.

“Kebelakangan ini, pihak berkuasa giat menjalani kursus yang berkaitan untuk memastikan pengurus mengenali budaya dan cara hidup Islam serta memperoleh persijilan mesra Muslim yang relevan.

“Inisiatif ini diambil bagi mewujudkan suatu persekitaran mesra Muslim yang sesuai untuk percutian seisi keluarga dan terus menarik tumpuan lebih ramai pengunjung,” katanya.

Biro Pelancongan Bandar Taoyuan bekerjasama dengan Global Alliance Travel Services Sdn Bhd membawa 300 peserta rombongan 6 hari/5 malam bagi pelancong Islam ke pelbagai destinasi menarik seperti Lorong Lama Daxi, Muzium Kek dan Pastri Kuo Yuan Ye, Taman Tema Window on China dan lain-lain.

Di samping itu, mereka akan menginap di Hotel Chuto Plaza dan Hotel Galaxy yang menawarkan perkhidmatan mesra kepada pengunjung Islam.

Kerajaan Bandar Taoyuan juga menyediakan pakej sajian Islam dan sejadah Hotel Orchard Park kepada pengunjung Islam agar mereka dapat merasai ketenangan dan keselesaan sepanjang lawatan mereka.

Pakej percutian yang ditawarkan ini menyasarkan pasaran pelancong musim cuti sekolah pada bulan November yang sudah mula ditawarkan di Pameran Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair) yang diadakan September lalu.

Percutian di Taoyuan juga menjadi lebih mudah dengan adanya kemudahan lapangan terbang, tren dan ‘Senang Je Jalan-jalan di Taiwan’ dengan kerjasama Kerajaan Bandar Taoyuan dan China Airlines.

Selain itu, kerajaan bandar Taoyuan juga memberikan tawaran hebat termasuklah menghadiahkan Pas Metro, Pas ‘Senang Je Jalan-jalan di Taiwan’ Satu Hari bagi Laluan Cihu - Wulai, Kupon Eksklusif Lawatan ke Kilang Taoyuan dan banyak lagi kepada pelancong yang membeli pakej itu.

Tawaran ini dibuat agar pelancong tidak perlu bimbang mengenai isu pengangkutan dan dapat menikmati keseronokan melancong dengan menggunakan pas untuk menaiki pengangkutan perantara yang sedia ada.

Pelancong juga dapat menikmati makanan enak dan percutian dengan tema berbeza serta menyeronokkan yang ditawarkan di Taoyuan. Pada masa sama, nikmatilah pemandangan bandar Taoyuan yang indah.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 11:56am
d