nuansa

PI1M Kuala Berang lahir pencipta muda

Oleh HM Digital

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan mewakili Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Kuala Berang diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Program Robotik Digi-Petrosains 2017 baru-baru ini.

Menerusi ciptaan robot dikenali sebagai Coconut Grater, sekolah berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi.

Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi SMK Gedangsa mewakili PI1M FELDA Gedangsa menerusi ciptaan Robovac Robot dana SMK Seri Pagi mewakili PI1M Senawang dengan Smart Dustbin Robot.

Hadiah disampaikan Ketua Komunikasi dan Ekosistem Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Hadir sama Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi Eugene Teh dan Pengarah Program Petrosains Kamaruddin Kassim.

Pertandingan itu kerjasama antara Digi Telecommunications Sdn Bhd dengan Petrosains, The Discovery Centre.

Digi-Petrosains Robotic 2017 adalah program robot bertujuan melatih pelajar mengenai pembangunan robot.

Dihoskan di lapan PI1M yang diuruskan Digi di seluruh negara, program selama lapan bulan ini membabitkan 144 pelajar dari 48 sekolah di sekitar 48 PI1M.

Diisytiharkan sebagai Cabaran Pencipta Muda PI1M, pertandingan akhir menyaksikan 16 sekolah membentangkan idea dengan tema perancangan penyelesaian dunia sebenar sains dan teknologi menerusi pengaturcaraan robot.

Eugene berkata, PI1M terus memberi kebaikan dalam mewujudkan perubahan sosial yang positif kepada masyarakat sekitar melalui pembinaan kapasiti, pembelajaran pengetahuan dan peningkatan kemahiran yang sejajar dengan misi Digi untuk memperkasakan komuniti.

“Kami gembira bekerjasama dengan Petrosains untuk membawa program robot ini ke sekolah di kawasan luar bandar.

“Begitu membanggakan apabila melihat bagaimana program ini membantu membina keyakinan pelajar dan memberi inspirasi kepada mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai robotik serta pengaturcaraan melalui sambungan Internet yang disediakan di PI1M masing-masing.

“Kami berharap program ini akan mendorong mereka meneruskan kerjaya dalam industri berkaitan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara pada masa akan datang,” katanya.

Sementara Kamaruddin berkata, perkongsian dengan Digi membolehkan Petrosains bekerjasama dalam menyampaikan program pembangunan pendidikan untuk generasi muda dalam STEM khusus dalam bidang robotik dan pengekodan di pusat PI1M.

Beliau berharap program ini dapat membantu pelajar membina asas yang kukuh dalam teknologi, reka bentuk dan inovasi sambil membangunkan pemikiran kritis dan sistematik.

Disiarkan pada: October 30, 2017 @ 12:07pm
d