nuansa

Kemudahan selesa untuk Muslim

Oleh HM Digital

Diiktiraf satu daripada ‘New 7 Wonders of Nature,’ Pulau Jeju destinasi percutian menarik yang mesti di kunjungi.

Panoramanya yang indah, alam semula jadinya mendamaikan dan kepelbagaian aktiviti ditawarkan bagai satu bonus sekali gus membuatkan kunjungan ke pulau beriklim subtropika dan lebih hangat daripada tempat lain di Korea dengan empat musim berbeza cukup mengujakan.

Kini dengan adanya penerbangan terus AirAsiaX Kuala Lumpur-Jeju dengan empat kali seminggu bermula 12 Disember ini, ia membuka laluan buat pelancong negara ini untuk meneroka pulau yang besarnya tiga kali ganda Singapura.

Bersempena pelancaran penerbangan terus AirAsiaX Kuala Lumpur-Jeju ini juga, Wilayah Pemerintahan Sendiri Khas, Jeju baru -baru ini mengadakan Seminar Discover New Jeju bagi memperkenalkan dan mempromosikan Pulau Jeju kepada rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah Biro Pelancongan Wilayah Pemerintahan Sendiri Khas Jeju Lee Seung Chan berkata dengan pelancaran penerbangan AirAsiaX terus ke Jeju, bilangan pelancong Asia Tenggara dijangka meningkat.

“Dengan peluang penerbangan langsung AirAsiaX ini ke Jeju, kami optimis memperkembangkan pasaran pelancongan Jeju di Asia Tenggara melalui pelancongan yang berkembang pesat di Malaysia dan menyokong kemasukan pasaran industri pelancongan Jeju.

“Mewujudkan sistem kerjasama yang lebih mantap dengan organisasi dan industri berkaitan dengan pelbagai cara, kerajaan Jeju juga merancang meningkatkan kepuasan pelancong Asia Tenggara dan merevitalisasi industri pelancongan di rantau ini,” katanya.

Mengulas kesediaan Jeju menerima pelancong Muslim ke pulau itu, katanya peningkatan bilangan pelancong Muslim ke Korea dari 202,000 pada 2001 dan kira-kira sejuta (986,000)pada 2016 ternyata cukup memberangsangkan.

Oleh itu, katanya, Pulau Jeju juga kini dalam usaha menerima pelancong Muslim dengan menyediakan kemudahan yang selesa.

“Peningkatan pelancong ke Jeju juga nyata meningkat, jadi bagi mestikan keperluan pelancong Muslim terjaga, pulau ini kini mempunyai enam bilik solat dan tujuh restoran francais Muslim serta satu di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju.

“Selain itu, Pulau Jeju juga terkenal dengan makanan lautnya yang enak dan secara tidak langsung menawarkan banyak restoran makanan laut serta mesra Muslim,” katanya.

Meneroka Pulau Jeju juga kini lebih mudah dengan kemudahan bas yang yang akan melalui lokasi menarik sekitar pulau ini.

Menariknya, perkhidmatan bas di Jeju ini menawarkan Wi-Fi percuma kepada pengguna.

Menaiki penerbangan langsung dari Kuala Lumpur - Jeju pada Disember ini dengan musim sejuk ini, pelbagai tarikan menarik menanti anda.

“Pada musim sejuk ini, banyak aktiviti menarik yang boleh di lakukan termasuk mendaki gunung bersalji iaitu Mt Halla, puncak tertinggi di Korea Selatan dan penerokaan tiga tapak warisan dunia.

“Festival musim sejuk sepanjang 16 Disember hingga 21 Januari yang menawarkan pelbagai aktiviti seperti aktiviti luar dan luncur salji di Mt Halla, persembahan Krismas di pusat bandar Jeju dan banyak lagi yang pasti memeriahkan kunjungan ada ke pulau ini,” katanya. -Suliati Asri

Disiarkan pada: November 7, 2017 @ 10:37am
d