nuansa

Imej perkampungan Bajau

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Pengalaman bercuti selama dua hari bersama keluarga di sebuah perkampungan air di daerah Semporna, Sabah memberi ilham kepada seorang pelukis untuk berkongsi pengalaman menarik itu kepada orang ramai.

Haron Mokhtar menghasilkan lukisan bertajuk ‘Regatta Lepa’ yang memberikan gambaran jelas perkampungan berkenaan dan mengenali masyarakat Bajau yang menghuni kampung itu.

Regatta Lepa bermaksud perayaan tahunan masyarakat Bajau Laut di Semporna, Sabah. Ia adalah festival air dengan penampilan perahu (lepa) berhias dari seluruh pelosok kampung di Semporna.

Karya beliau bergenre seni pop itu adalah satu daripada 75 karya hasil sentuhan 75 artis yang terbabit dalam Pameran Alam dan Guru di Balai Seni Negara (BSN).

Apa yang menarik, kesemua lukisan yang dipamerkan adalah hasil karya pendidik dari sekolah rendah hinggalah pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia seluruh negara.

Sebaik melangkah kaki masuk ke Ruang Kreatif BSN, penulis terpegun melihat keindahan karya pelukis kerana tidak menyangka mereka berbakat besar dalam bidang seni lukis

Haron berkata, lukisan beliau menggunakan medium akrilik atas kanvas itu adalah antara yang terbaharu tahun ini mampu menarik perhatian penonton untuk mengunjungi kampung berkenaan.

“Penonton perlu pergi ke Semporna, Sabah untuk merasai pengalaman tinggal di rumah air yang dilihat sangat unik selain boleh menikmati pemandangan menarik.

“Peluang tinggal di rumah air adalah satu pengalaman berharga yang sukar diperoleh jika berada di tempat lain selain di Semporna,” katanya.

Katanya, menerusi lukisan itu juga akan membawa penonton menghayati karya berkenaan berdasarkan dua imej berbeza di bahagian atas dan bawah.

“Di bahagian atas lukisan menunjukkan imej rumah Bajau Laut yang kelihatan uzur menggambarkan kehidupan ringkas.

“Manakala di bahagian bawah pula menjelaskan kegiatan sosial mereka (penduduk) dan imej sampan berhias menerangkan sikap masyarakat Bajau Laut yang sentiasa menggembirakan tetamu,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua subjek di atas dan di bawah dipisahkan dengan ruang kosong yang dikaitkan sebagai ruang bernafas untuk karya dan penonton berfikir.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata, tujuan pameran diadakan sebagai salah satu aktiviti yang mampu merancakkan lagi kegiatan seni visual tanah air dan memartabatkan karya guru seni visual ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, tema pameran iaitu Alam dan Guru menyediakan satu wacana kukuh dengan nilai yang diinspirasikan dari alam sebagai satu bentuk komunikasi visual yang dipersembahkan secara dua dimensi.

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 12:53pm
d