nuansa

Komitmen kunci kejayaan caklempong ASIS

Oleh Garret Dawum

Gubahan lagu Despacito nyanyian asal Luis Fonsi benar-benar menarik perhatian apatah lagi menggunakan alat muzik tradisional.

Lebih bermakna ketika mengadakan persembahan korporat menggunakan alat muzik tradisional caklempong, pasukan caklempong Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASIS) mendapat pujian dan video mereka tular di media sosial.

Mula berkembang dalam kalangan masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan, caklempong adalah alat muzik tradisional Melayu daripada keluarga gong yang diperbuat daripada gangsa.

Namun dek arus pemodenan, alat itu semakin terpinggir tapi usaha ASIS memartabatkan caklempong menampakkan hasil dan dapat meningkatkan kecenderungan pelajar ke arah memelihara serta menghargai nilai warisan negara.

Seorang pelajar ASIS, Muhammad Hilman Mohd Hanip, 14, berkata dia sangat terpesona dengan alunan indah muzik itu.

"Saya sangat tertarik dengan bunyi yang terhasil daripada alat muzik ini. Ia begitu mengasyikkan terutama ketika dialunkan mengikut rentak muzik.

"Peluang yang diberikan untuk mempelajari permainan alat muzik tradisional ini membuatkan saya terus mengembangkan bakat bermain alat muzik," katanya yang berkebolehan bermain piano dan gitar.

Minat bermain alat muzik sejak tahun 5 membuatkan Hilman terus menunjukkan bakat bermain caklempong dan menganggap permainan itu mempunyai persamaan dengan piano iaitu daripada aspek susunan not.

“Boleh bermain piano adalah bonus kepada saya untuk terus membabitkan diri dalam caklempong. Tidak dinafikan, susunan notnya hampir sama dengan piano. Ia memberi kelebihan kepada saya kerana sejak berusia 11 tahun, saya sudah memasuki kelas piano.

“Apa yang membezakan caklempong dan piano hanyalah cara menghasilkan bunyi. Bagi mengeluarkan bunyi caklempong, kita perlu mengetuk menggunakan kayu sementara piano menggunakan jari tangan,” katanya sambil memaklumkan banyak menonton video caklempong untuk menghasil dan menggubah lagu sedia ada.

Katanya, dalam banyak lagu yang dimainkan menggunakan caklempong, lagu berjudul Bugih Lamo antara yang paling senang dipersembahkan dan Tiko-Tiko paling susah kerana temponya sangat laju.

“Kami tidak mengambil masa yang lama untuk menggubah Bugih Lamo dan setakat ini, sudah 60 lagu digubah.

“Semestinya, kami ingin membawa caklempong ke seluruh Malaysia dan mereka yang ingin bermain caklempong perlu mempunyai minat,” katanya.

Berbeza pula dengan rakannya, Muhamad Hazim Mohd Nabil, 14, yang langsung tidak mempunyai kemahiran asas mengenai alat muzik itu.

“Masuk ASIS baru saya tahu bermain caklempong dan mahu memartabatkan budaya seni tradisi tempatan. Saya memilih caklempong kerana tidak ramai orang yang bermain alat ini. Ramai yang kurang mengenali caklempong.

“Golongan muda khususnya tidak suka kepada alat muzik tradisional termasuk caklempong. Jika bukan kita, siapa lagi yang mahu mengekalkan alat muzik tradisional ini,” katanya sambil memberitahu akan mengikuti latihan tiga kali seminggu.

Anak kelahiran Kota Damansara, Selangor ini berkata, dia mengakui masih terdapat kekurangan dari aspek ketepatan ketukan, kepantasan pergelangan tangan dan keseragaman melodi.

Diberi tanggungjawab bermain ketereh iaitu alat yang paling depan sekali dalam permainan caklempong, katanya, kepantasan dan kelembutan pada bahagian pergelangan tangan sangat diperlukan.

“Ketepatan ketukan juga penting kerana ketukan tidak tepat akan menghasilkan bunyi yang sedikit sumbang sekali gus mengganggu persembahan,” katanya.

Guru Penasihat Kelab Caklempong ASIS Ghani Salleh berkata, persembahan caklempong itu sedikit berbeza

dengan yang lain kerana setiap kali persembahan diadakan, mereka akan selitkan dengan tarian dan gerak yang boleh menarik perhatian.

“Sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, komitmen pelajar adalah kunci dan rahsia kejayaan caklempong ASIS.

“Malah, peranan alumni dan bekas pelajar turut menjadi rahsia kecemerlangan di peringkat kebangsaan,” katanya dan memberitahu kejayaan meraih Anugerah Emas Festival Kesenian Muzik Sekolah-Sekolah Malaysia di Pulau Pinang pada 30 April lalu adalah satu kebanggaan.

Kata Ghani, meskipun masih muda, minat yang mendalam serta kesungguhan untuk mempertahankan seni warisan bangsa itu dilihat sungguh membanggakan.

“Jika hari ini, golongan muda sering dilihat lebih tertarik dengan permainan alat elektronik, lain pula bagi mereka apabila sedar peranan untuk memperjuangkan warisan ini,” katanya.

Selain itu, katanya, pasukan ASIS juga mahu memperkenalkan caklempong ke luar negara menerusi siri persembahan.

Disiarkan pada: November 13, 2017 @ 3:32pm
d