nuansa

Lebih masa dengan anak

Oleh Asmah Rusman

Bukan mudah memulakan kerjaya baru apatah lagi tidak pernah terfikir untuk menjadi usahawan selepas 21 tahun bertugas dan menimba pengalaman dalam dunia penerbangan.

Namun, bekas ketua pramugari kanan Penerbangan Malaysia (MAS) Siti Norazrina Md Nor, 44, dia tidak mempunyai pilihan selepas dimaklumkan mengenai kerjayanya di MAS akan ditamatkan.

“Saya maklum mengenai perkara itu pada Ogos 2015 dan kerjaya akan ditamatkan tiga bulan lagi selepas MAS mengumumkan mengenai pemberhentian kakitangan secara berperingkat bermula Jun 2015 hingga Jun 2016.

“Saya diminta mengikuti latihan di Pusat Pembangunan Korporat (CDC), sebuah inisiatif yang diperkenalkan oleh Khazanah Nasional Berhad,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Katanya, dia yang ketika itu seorang ibu tunggal sedih memikirkan masa depan dua anaknya berusia 14 dan 15 tahun kerana bimbang sukar mencari kerjaya baharu.

Menurutnya, pada peringkat awal dia memilih mencari kerja tetap dalam bidang baharu, sebelum CDC mengesan bakatnya dalam bidang keusahawanan.

“Saya mula mengenali bidang perniagaan selepas melihat kejayaan seorang rakan yang juga bekas kakitangan MAS yang menjadi ejen produk wangian.

“Memandangkan memang meminati minyak wangi dan turut mempunyai koleksi peribadi yang dibeli ketika bertugas di luar negara, saya terpanggil untuk mencuba nasib sebagai penjual,” katanya.

Katanya, dia berjaya menjual 18 botol minyak wangi kepada keluarga dan rakan rapat melalui aplikasi WhatsApp sebelum mendaftar sebagai ejen yang sah.

“Memandangkan pengetahuan saya mengenai produk wangian sangat baik maka ramai pelanggan yang yakin dan mempercayai saya untuk memilih bauan yang sesuai sama ada sebagai hadiah atau cenderamata,” katanya.

Katanya, dia juga membantu ibunya mengembangkan perniagaan pembuatan biskut dengan label My Mum Cookies by La Belle Fee selain menjadi perunding tabung amanah.

“Ada juga rahmatnya saya menceburi kerjaya baharu kerana banyak masa diluangkan bersama keluarga. Sepanjang menjadi pramugari, hanya dua kali bercuti pada Aidilfitri.

“Saya bertugas bagi penerbangan domestik selama sembilan bulan, paling banyak penerbangan antarabangsa. Bayangkan perasaan anak saya ketika itu kerana masa lebih banyak di awan biru berbanding bersama mereka,” katanya.

Katanya, selepas hampir dua tahun menceburi kerjaya baharu, Siti Norazrina percaya usaha yang berterusan dan sikap tidak mudah berputus asa menjadi kunci kejayaan kepada dirinya.

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 11:35am
d