nuansa

Ringan beban ibu ayah

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kanak-kanak ini dilahirkan dengan cacat penglihatan, tetapi kekurangan pancaindera itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita menjadi profesor.

Semangatnya didorong keinginan mahu membantu mengeluarkan keluarganya daripada kemiskinan di samping menolong orang lain apabila berjaya kelak.

Begitu murni hati Nurul Kharrina Ramlan, 12, yang juga seorang daripada 250 penerima sumbangan Empire Back to School daripada Empire Project (EP) berupa kelengkapan persekolahan bernilai RM150 di AEON Big Wangsa Maju, baru-baru ini.

Penulis turut kagum dengan kanak-kanak itu kerana dia begitu petah berkata-kata dan ramah selain memberitahu mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir di Sekolah Pendidikan Khas (cacat penglihatan) Jalan Batu.

Nurul Kharrina berkata, dia gembira apabila terpilih menerima bantuan itu kerana dapat meringankan beban ibu bapanya. Ini kerana empat adik-beradiknya yang lain masih bersekolah.

“Setiap tahun ibu dan ayah terpaksa mengeluarkan banyak belanja untuk tujuan itu sedangkan kami bukan orang senang, ibu tidak bekerja sementara ayah hanya pekerja am.

“Bantuan ini sangat melegakan kerana selain saya, adik bongsu, Nurul Qistinna berusia lapan tahun juga penerima sumbangan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus EP Mohd Asyraf Khan Najib berkata, keseronokan menatap wajah ceria kanak-kanak ketika memilih kelengkapan pakaian sekolah bukan sekadar memberi kepuasan kepada EP, tetapi juga mendorong pertubuhan berkenaan mengulangi pemberian sumbangan Empire Back to School tahun ini.

Katanya, tahun ini kali ketiga ia diadakan sejak 2015 dan sudah membantu lebih 400 kanak-kanak kurang berkemampuan serta anak yatim sebagai penerima sumbangan.

“Manakala tahun ini juga 250 kanak-kanak dipilih menerima sumbangan ini dari tiga negeri iaitu Kuala Lumpur seramai 200 penerima, Pulau Pinang (100 penerima) dan Johor (50 penerima).

“Kali ini EP bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Buku Jalanan Chow Kit, Humanity, Anak-anak Kanser Hospital Kuala Lumpur (KIDS), Senarai Penerima Food Bank dan Prelove for Charity bagi menjayakan program berkenaan,” katanya.

Jelasnya, bilangan penerima kali ini lebih ramai berbanding tahun sebelumnya kerana keprihatinan pertubuhan itu untuk membantu meringankan beban keluarga penerima dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing.

“Kos sara hidup meningkat ditambah pula harga barangan kelengkapan persekolahan juga semakin mahal setiap tahun. Sudah tentu itu membebankan keluarga berpendapatan rendah.

“Peningkatan bilangan penerima pula hasil jalinan kerjasama dengan NGO dari Kuala Lumpur dan negeri lain kerana NGO terbabit turut membantu mencari penerima yang layak,” katanya.

Katanya, beliau bercadang menjadikan Empire Back to School sebagai acara tahunan dan turut akan diperluaskan ke negeri lain supaya lebih ramai mendapat manfaat program terbabit.

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 3:43am
d