nuansa

153 dapat bantuan persekolahan

Oleh Fazurawati Che Lah

Bagi meringankan perbelanjaan persediaan melangkah ke alam persekolahan pelajar kurang berkemampuan pada tahun hadapan, Yayasan Eco World terus komited menyalurkan bantuan menerusi Program Bantuan Pelajar (Students Aid Programme (SAP)).

Seramai 153 murid kurang bernasib baik dari tujuh sekolah rendah di Kapar dan Kuala Selangor, Selangor menerima bantuan itu.

Murid itu adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Utama, SK Bukit Kapar, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Wah, SJKC Ying Wah, SKJC Ijok, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bestari Jaya dan SJKT Methodist.

Mereka menerima beg, alat tulis dan bantuan seperti makanan percuma, yuran sekolah dan yuran tuisyen apabila kembali ke sekolah tahun depan.

Pengerusi Yayasan Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dengan penambahan tujuh sekolah, jumlah sekolah yang diterima oleh yayasan itu menjadi 134 dengan 33 daripadanya di Selangor.

“Pada masa ini, yayasan menyokong 2,753 murid dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pahang dan Sabah menerusi program tersebut.

“Dengan bajet tahunan RM5 juta, program ini menggunakan pendekatan holistik dengan menangani semua aspek keperluan asas pendidikan murid, dari peralatan sekolah, makanan, yuran sekolah dan yuran tuisyen.

“Kami berharap dengan bantuan itu dapat mengurangkan beban ibu bapa agar dapat memberi tumpuan kepada kerja sementara keperluan sekolah anak mereka dijaga melalui inisiatif ini,” katanya pada pelancaran di Galeri EcoWorld di Puncak Alam, baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Chong Sin Woon.

Turut hadir ialah Pemegang Amanah Yayasan Eco World Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Philip Matthews, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World International Bhd Datuk Teow Leong Seng, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Bhd Datuk Chang Khim Wah, serta Pengarah Eksekutif Datuk Voon Tin Yow.

Lee berkata, murid yang mencapai keputusan baik dalam peperiksaan UPSR juga layak mengikuti program ini.

“Pada masa ini, kira-kira 400 pelajar menengah dan 36 penuntut universiti terus mendapat faedah daripada program itu selepas pendidikan rendah mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Chong memuji EcoWorld Malaysia dan usaha mulia yayasan dalam membantu golongan muda Malaysia yang kurang bernasib baik untuk meningkatkan kualiti hidup mereka sambil memberi tumpuan untuk mempromosikan pendidikan sebagai elemen penting dalam memecah kemiskinan.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 2:17pm
d