nuansa

Jalan berterompah kelapa

Oleh Fazurawati Che Lah

Bagi kira-kira 400 siswa Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah, peluang untuk berinteraksi sesama mereka di dalam aktiviti bertemakan sukan rakyat tidak dilepaskan baru-baru ini. Ia mendekatkan lagi hubungan yang sedia terjalin.

Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah UM Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, antara permainan yang dilaksanakan termasuk tarik tali, baling tin, berjalan menggunakan terompah tempurung kelapa, ‘explorace’ dan menaikkan tanglung.

“Aktiviti dianjurkan sepenuhnya siswa dan membuka minda mereka khususnya pergaulan dan berinteraksi dalam kehidupan seharian.

“Ini memaksa mereka untuk keluar dari zon selesa dan berani menghadapi apa jua cabaran yang mendatang,” katanya.

Katanya aktiviti sukan rakyat ini sebahagian daripada program suai kenal sempena sesi pengajian 2017/2018 yang baru saja bermula.

Katanya, program tahunan yang dikenali sebagai Minggu Bersama Gemilang diadakan selama empat hari dengan tujuan memperkenalkan sisi kehidupan sebagai mahasiswa UM yang bekerjasama dan sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Bagi penuntut Pusat Sukan, Tengku Nur Azlin Shuhada Ku Saman, biarpun kebanyakan aktiviti bersifat menyeronokkan, namun mempunyai nilai tersendiri yang boleh dijadikan sandaran untuk membina sahsiah diri yang baik dan berketrampilan.

“Saya percaya semua peserta mampu membina jaringan persahabatan yang kukuh dan menguntungkan untuk jangka panjang,” katanya.

Bagi penuntut tahun dua Fakulti Kejuruteraan Abdul Wafiy Ab Kahar pula, program santai digemari penghuni yang baru sahaja memulakan kisah kehidupan mereka di kampus ini.

“Lebih menarik apabila semua program yang dirancang disertai penghuni kolej yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang,” katanya.

Sementara bagi rakannya yang juga penuntut Fakulti Kejuruteraan K Dushsyant berbangga kerana selain dari mengeratkan persahabatan dalam kalangan penghuni, program ini juga memberi peluang kepada mereka untuk memainkan semula permainan rakyat yang semakin dilupakan generasi sekarang.

Disiarkan pada: December 18, 2017 @ 2:21pm
d