nuansa

Demi amal

Oleh Mohamad Hussin

Pengalaman terkandas selama 12 jam dalam hutan ketika ingin keluar dari kawasan pedalaman di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan, membuatkan lebih 100 peserta konvoi pacuan empat roda (4x4) tersemai semangat kerjasama berpasukan untuk memberi bantuan kepada rakan masing-masing.

Dalam Program Misi Bantuan Kemanusiaan Gabungan Siri 5/2017 atau Offroad & Charity, peserta menempuh pelbagai cabaran dan dugaan berikutan hujan untuk meredah laluan tanah merah yang dipenuhi lumpur serta selut.

Kampung Mambong hanya boleh dihubungi melalui jalan air dengan bot menyusuri Sungai Kelantan dari jeti Tangga Krai, Kuala Krai yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

Penyelaras program Khairul Badri Abdul Basit berkata, Misi Bantuan Kemanusiaan Gabungan Siri 5/2017 adalah julung kali diadakan di kawasan perkampungan Melayu.

Beliau berkata, misi bantuan ini adalah anjuran Kay Adventure 4x4 dengan kerjasama RSE 4x4 Team dan Kelab Sukan Pacuan Empat Roda 4x4 Kuala Krai.

“Ia satu program tahunan apabila penganjuran aktiviti ini diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat terutama penduduk terbabit.

“Kampung Mambong yang kurang mendapat perhatian masyarakat luar kerana kedudukan kampung agak terpencil.

“Penganjuran aktiviti ini juga membabitkan kerjasama beberapa jabatan, agensi kerajaan dan gabungan kelab 4x4 seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Penolong Ketua Jajahan Kuala Krai Ruslan Ludin, Turut hadir, Penasihat 4x4 Krai Team Datin Suzie Chua Bee Sim, pengamal perubatan Islam dan penceramah bebas Datuk Ustaz Sharhan Shafie dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Mambong Rothman Abdullah.

Antara aktiviti selain pemberian sumbangan adalah pertandingan Grantt 4x4 Fun Challenge, Boat Race, Best 4x4 Club dan persembahan dikir barat. Sementara aktiviti gotong-royong seperti membersih dan mengecat masjid serta memperbaiki jalan ke masjid turut diadakan.

Penganjur dan penduduk turut membantu melapah seekor lembu untuk jamuan kenduri gulai kawah. Selain itu, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dan paramedik dari Hospital Sungai Buloh turut berkampung di situ selama tiga hari bagi memberi bantuan kemanusiaan dan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk terbabit.

Menurut Khairul Badri, program ini kali kelima diadakan. Terdahulu, Misi Bantuan Kemanusiaan Gabungan ini diadakan tiga kali iaitu Misi Bantuan Kemanusiaan Gabungan Siri 1/2013 ke Pos Hau, Misi Bantuan Kemanusiaan Gabungan Siri 2/2014 ke Pos Gob dan Misi Bantuan Kemanusiaan Gabungan Siri 3/2015 ke Pos Bihai yang semuanya di daerah Gua Musang.

“Tahun lalu, Pos Belatim dipilih menjadi lokasi bagi program ini. Pos Belatim yang juga kawasan penempatan masyarakat Orang Asli menjadi tumpuan misi itu dengan objektif utama menghulurkan bantuan barangan keperluan terutama makanan dan pakaian bagi persediaan masyarakat Orang Asli menghadapi musim tengkujuh.

“Menerusi pengalaman itu, kami terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran dan cabaran melalui jalan yang tidak berturap serta masih daif itu.

“Walaupun segala kesusahan kami lalui sepanjang siri 1, 2, 3 dan 4, ia tidak pernah mematahkan semangat untuk meneruskan misi bantuan kemanusian siri 5 demi mencapai matlamat,” katanya.

Katanya, melalui aktiviti yang dijalankan, pelbagai program diatur bagi mendekati masyarakat untuk berbakti serta berpeluang merasai realiti kehidupan dan hubungan sesama insan.

“Ia bagi memastikan suasana demikian tidak luput dan hilang di ingatan pada masa akan datang. Malah, akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan peserta konvoi untuk turut membantu.

“Selain itu, program ini juga dapat memupuk semangat kerjasama antara jabatan kerajaan, badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab 4x4 yang terbabit bersama penduduk kampung di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata, program ini dijalankan sebagai pengisian program tahunan anjuran Kay Adventure 4x4 dengan kerjasama kelab 4x4 yang terbabit.

“Lokasi program Misi Bantuan Kemanusiaan ini dipilih berdasarkan pelbagai faktor seperti lokasi kampung yang agak terpencil, tiada kemudahan asas, kesukaran mendapat bekalan makanan ketika menghadapi musim tengkujuh, membantu golongan penduduk Kampung Mambong yang susah.

“Matlamat program ini untuk memupuk semangat kerjasama kemanusiaan dalam kalangan penggiat sukan permotoran 4x4 dan seterusnya program ini diharap apat mewujudkan keseronokan serta rasa tanggungjawab membantu sesama insan tanpa mengira agama dan bangsa.

“Selain itu, penduduk setempat rasa lebih dihargai dengan adanya aktiviti seperti ini. Tujuan program ini menerusi pembabitan komuniti dijangka dapat mengubah taraf hidup sosial, ekonomi, kesihatan dan pencapaian pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Jawatakuasa Sahabat Masjid UPM Nurkhalizah Sarip berkata, lebih 20 penuntut UPM menyertai program ini bagi membantu penduduk kampung berkenaan membuat kerja amal.

“Rata-rata penuntut melahirkan rasa syukur kerana terpilih dalam program ini. Ia sedikit sebanyak memberi keinsafan kepada mereka erti kesusahan penduduk terbabit,” katanya.

Rothman berkata, pihaknya berterima kasih kepada penganjur misi bantuan ini kerana memberi sumbangan kepada penduduk kampung berkenaan.

“Terdapat 150 keluarga membabitkan 600 penduduk yang tinggal di kampung ini. Kebanyakan penduduk bekerja sebagai penoreh getah dan hasil tangkapan ikan sungai yang dijual di pekan Kuala Krai,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 11:29am
d