nuansa

Galak murid teroka ilmu perubatan

Oleh Fazurawati Che Lah

Program UPM Young Doctors’ Day (YDD 2017) anjuran Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menggalakkan pelajar meminati dunia perubatan seawal sekolah rendah.

Program siri ketiga yang bertemakan pendidikan kesihatan itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 100 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Serdang, Sekolah Kebangsaan Sri Serdang, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) F E Serdang dan Sekolah Kebangsaan Cyberjaya.

Pengarah program, Dr Masriana Hassan berkata, berbeza daripada program sebelumnya, UPM YDD 2017 mempunyai pelbagai modul kesihatan yang menarik iaitu Young and Health.

Katanya, peserta didedahkan kepada cara hidup sihat dan berkaitan penyakit yang disebabkan pemakanan, cara mencuci tangan yang betul, tabiat merokok dan mempelajari berkenaan sel darah serta penyakit berkaitan darah.

“Peserta bukan sahaja dapat belajar berkenaan kesihatan dan langkah-langkah penjagaan kesihatan secara umum.

“Malah mendalami pengetahuan itu dengan aktiviti interaktif yang dijalankan, bersesuaian dengan tahap umur mereka,” katanya.

Program itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Sains Bioperubatan, Obstetrik dan Ginekologi dan Ortopedik.

Pelbagai modul menarik diperkenalkan antaranya Saluran Gastrousus (GIT), Perjalanan Ibu dan Bayi serta Kecederaan di Taman Permainan dan Menyimen Tangan Retak.

Ketua Jabatan Patologi, Prof Madya Dr Norhafizah Mohtarrudin selaku penganjur program UPM YDD berhasrat bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Kementerian Pelajaran dan badan swasta supaya program dapat dianjurkan secara menyeluruh di sekolah serta institusi lain secara lebih efektif.

“Harapan saya supaya program ini dapat membantu pelajar dalam mata pelajaran sains dan menambah minat mereka di dalam dunia perubatan,” katanya.

Timbalan Dekan Siswazah dan Jaringan Industri dan Masyarakat, FPSK, UPM, Prof Madya Dr Shamsul Bahri berkata, pakar perubatan turut memberikan perkongsian ilmu kepada peserta dalam program YDD 2017, sementara 23 penuntut perubatan turut membantu sebagai fasilitator.

“Peserta menunjukkan minat dan kesungguhan mereka untuk menerokai ilmu perubatan dan sains kesihatan,” katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 12:01am
d