nuansa

Persiapan seawal jam 4 pagi

Oleh HM Digital

Sarapan penting dalam kehidupan seharian, kerana membekalkan tenaga untuk seseorang menjalankan aktiviti sepanjang hari dengan cergas dan produktif.

Secara lebih terperinci, pengambilan sarapan juga memastikan metabolisma badan sentiasa berada pada tahap optimum, membantu mengelakkan pemakanan secara berlebihan dan membentuk pola pemakanan yang sihat sepanjang hari.

Menyedari kepentingan ini, 30 sukarelawan dari Universiti Malaya (UM) menganjurkan program JomBekpes.

Program anjuran Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) itu mendapat kerjasama Institut Onn Jaafar (IOJ) dan Yayasan Chow Kit (YCK).

Penasihat SEKRUM S Ramlee Shamsuddin berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengambilan sarapan kepada segmen masyarakat terpilih dengan mengagihkan juadah.

Katanya, JomBekpes dilaksanakan di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, termasuk Pusat Transit Gelandangan di Jalan Pahang, KL Crash Pad di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) dan Pusat Asuhan Kanak-Kanak (PAKK) di Jalan Chow Kit.

“Menariknya, sukarelawan menyiapkan semua juadah dengan persiapan dimulakan seawal jam 4 pagi.

Selain memberi sumbangan sarapan kepada tetamu yang dikenal pasti di lokasi ditetapkan, pelbagai aktiviti sampingan menarik turut dijalankan bagi meraikan penerima sumbangan,” katanya.

Menurut beliau, sukarelawan turut berpeluang beramah mesra bersama penerima sumbangan, terutama murid di SBJK dan PAKK.

“Melalui program seperti ini diharapkan dapat menarik minat lebih ramai mahasiswa menyertai aktiviti kesukarelawanan bagi melahirkan mahasiswa holistik dan peka terhadap keadaan sekeliling bertepatan dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Di samping itu, aktiviti sebegini mampu untuk mengasah kemahiran insaniah dalam diri mahasiswa sebelum berhadapan dengan dunia pekerjaan kelak,” katanya yang juga Penolong Pendaftar Kanan di Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM itu.

Sementara itu penuntut tahun kedua Fakulti Sains, Nur Zarifah Zailani berkata, JomBekpes antara program wajar diadakan kerana ia dapat melatih mahasiswa untuk mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi di samping menjadi seorang mahasiswa yang peka terhadap isu semasa dalam masyarakat sekeliling.

Sementara itu, bagi penuntut tahun akhir Fakulti Bahasa dan Linguistik Muhammad Irsyad Zaini, 23, pula, seorang mahasiswa itu perlu menjadi batu loncatan bagi pelaksanaan aktiviti kesukarelawanan.

“Dalam usaha menzahirkan rasa prihatin dan peka akan isu kebajikan masyarakat, aktiviti kesukarelawanan salah satu usaha murni serta sewajarnya dilaksanakan mahasiswa yang masih bertenaga dan mempunyai masa terluang,” katanya. -Fazurawati Che Lah

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 1:41pm
d