nuansa

Laluan Frankfurt-KL tahun ini

Oleh Hafiz Ithnin

Malaysia Airports dan Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) mengumumkan syarikat penerbangan Jerman, Condor Airlines bakal memulakan penerbangan laluannya Frankfurt-Kuala Lumpur bermula musim sejuk tahun ini.

Pada masa sama, Tourism Malaysia turut mengadakan memorandum kerjasama pemasaran (MoMC) untuk memulakan inisiatif pemasaran bersama Condor Airlines menggunakan dana promosi ditubuhkan antara Tourism Malaysia dan Malaysia Airports.

Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, terdahulu Malaysia Airports dan Tourism Malaysia sudah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tujuan mempromosi, membangun dan meningkatkan pelancongan dalam negara khususnya dari India, China dan Eropah.

Beliau berkata, inisiatif pemasaran bersama ini memerlukan kedua-dua pihak membentuk dana promosi untuk menyokong kempen pemasaran syarikat penerbangan dan rakan industri pelancongan.

“Penubuhan inisiatif ini tepat pada masanya kerana ia baik untuk syarikat penerbangan baru seperti Condor Airlines yang perlu membangunkan pelanco­ngan masuk ke Malaysia.

“Kerjasama ini adalah satu kejayaan besar bagi Tourism Malaysia kerana dapat bekerjasama dengan Condor Airlines serta Malaysia Airports. Saya berharap dapat memulakan perkhidmatan antara Frankfurt dan Kuala Lumpur yang dapat meningkatkan bilangan pelawat ke Malaysia, terutama menjelang Tahun Melawat 2020 kelak,” katanya.

Majlis MoMC berkenaan diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia Datuk Seri Abdul Khani Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Condor Airlines Ralf Teckentrup yang disaksikan Mohamed Nazri.

Condor Airlines memuktamadkan keputusan itu untuk mengendalikan penerbangan sulungnya ke Malaysia ketika World Travel Market di London November 2017.

Syarikat penerbangan itu akan memulakan perkhidmatan tiga kali seminggu pada November ini menggunakan pesawat A330-200 yang bakal menyediakan kapasiti untuk kira-kira 850 penumpang masuk setiap minggu.

Menerusi penerbangan yang dijadualkan Condor Airlines, dijangkakan bilangan penumpang Eropah, khususnya dari Jerman meningkat. Pada masa ini, tidak ada penerbangan terus antara Jerman dan Kuala Lumpur sejak penarikan balik perkhidmatan oleh Malaysia Airlines dan Lufthansa.

Malaysia Airports dan Tourism Malaysia sudah bekerjasama dalam menggerakkan syarikat penerbangan dari Eropah apabila Condor Airlines akan meningkatkan penyambungan dari Eropah ke Malaysia.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 10:55am
d