nuansa

Bersiap untuk ke Sukan Olimpik

Oleh Hafiz Ithnin

Siapa sangka, bermula sekadar suka-suka dalam aktiviti memanjat tembok, anak muda kelahiran Selangor berusia 24 tahun ini akhirnya mampu menyertai lebih 50 kejohanan dalam sukan berkenaan sejak 2011.

Lebih mencuri tumpuan apabila membaca profil aktiviti pemilik nama Muhammad Taqiuddin Mohd Zulkifli atau Taqi, kerana anak muda ini pernah mewakili tiga kejohanan antarabangsa bagi mewakili Malaysia dalam dua kategori iaitu peringkat Asia dan dunia.

Pencapaian terbaiknya setakat ini ialah meraih di kedudukan ke-13 dalam Kejohanan Pendakian Universiti Dunia di China tahun lalu dan kedudukan kelima dalam Kejohanan Remaja Dunia pada 2013.

Pelajar tahun tiga Diploma Pengurusan Luar dan Rekreasi Management & Science University (MSU) ini juga ketika ini sibuk membuat persiapan untuk menyertai Sukan Olimpik di Tokyo pada 2020 bagi mewakili Malaysia dalam sukan memanjat tembok.

Muhammad Taqiuddin berkata, dia sememangnya serius ke arah mewakili Malaysia dalam kejohanan dunia dan sentiasa mempersiapkan diri dengan menjalani latihan intensif lima hari seminggu bagi membina stamina dan strategi.

Menurut Muhammad Taqiuddin, antara perkara menarik berkenaan sukan memanjat tembok ialah latihannya yang boleh dilakukan seorang diri sekali gus dapat membina keyakinan dan stamina diri.

“Di Malaysia terdapat banyak kemudahan aktiviti memanjat tembok dan saya sering ke Taman Cabaran Putrajaya (PCP) untuk menjalani latihan dan ramai komuniti pendaki tembok terutama yang sebaya dengan saya menjadikannya sebagai aktiviti serius. Saya juga mendapat tajaan Bolder Ventures untuk terus giat dalam aktiviti ini.

“Malah di Malaysia, kita mempunyai jurulatih yang berpengalaman dalam sukan ini dan mereka sentiasa menyokong atlet untuk terus memajukan diri serta mengharumkan nama negara di peringkat dunia,” kata anak keempat daripada empat adik-beradik itu.

Memandangkan aktif menyertai kejohanan memanjat tembok di peringkat antarabangsa, Muhammad Taqiuddin turut mempromosikan kemudahan memanjat tembok yang terdapat di Malaysia kepada atlet luar.

Katanya, Malaysia mempunyai banyak kemudahan memanjat tembok dan sesuai untuk atlet sepertinya menjalankan latihan bagi mempersiapkan diri menyertai pelbagai kejohanan luar negara.

“Bagi saya, Malaysia mempunyai kemudahan mendaki tembok yang mudah untuk dikunjungi orang ramai. Namun, kita perlu mempelbagaikan lagi kemudahan sedia ada seperti menyediakan batu yang sering digunakan dalam sesuatu kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Kemudahan yang sentiasa dinaik taraf penting bagi kami untuk sesi latihan dan juga memberi peluang kepada Malaysia untuk menjadi lokasi atlet asing menjalankan latihan mereka di sini. Ia sekali gus dapat memperkembangkan komuniti pendaki tembok di Malaysia,” katanya.

Muhammad Taqiuddin berkata, komuniti pendaki tembok di Malaysia juga ramai dan dia berharap lebih banyak pertandingan dalam sukan itu dapat diadakan di negara ini kerana ia salah satu aktiviti yang dapat menarik minat orang ramai menyertainya.

Katanya, komuniti pendaki tembok di Malaysia juga sentiasa menyokong antara satu sama lain termasuk mengadakan sesi latihan dan berkongsi pengalaman serta kemahiran masing-masing.

“Jika sesuatu kejohanan pendakian tembok diadakan di Malaysia, saya lebih bersemangat kerana ramai komuniti pendaki yang sentiasa menyokong.

“Sebenarnya ada juga kejohanan mendaki tembok terbuka yang membolehkan peserta dari luar negara menyertai kejohanan ini di Malaysia dan saya berharap lebih banyak pihak pihak dapat menganjurkan pertandingan seperti ini di dalam negara,” katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 1:27pm
d