nuansa

20 kali naik podium

Oleh Hafiz Ithnin

Kecil-kecil cili padi. Itu antara ungkapan sesuai untuk diberikan kepada pemilik nama Norhafizi kepada Ishak ini. Orangnya kecil saja tetapi mempunyai bakat besar dalam aktiviti memanjat tembok batu asli dan tiruan.

Menyertai aktiviti itu sejak 2010, Norhafizi atau lebih dikenali sebagai Fizi sememangnya mempunyai pengalaman luas dalam aktiviti sukan rekreasi berkenaan.

Anak kedua daripada lima beradik yang berasal dari Johor ini sudah menyertai lebih 30 kejohanan mendaki cerun batu dan cerun di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Daripada jumlah kejohanan berkenaan, kira-kira 20 kemenangan termasuk satu kejuaraan di peringkat antarabangsa, Krabi International Rock and Fire Festival 2014.

Fizi berkata, selain menyertai pelbagai kejohanan pendakian cerun, dia juga aktif mengikuti ekspedisi mendaki cerun di beberapa lokasi dalam negara seperti di Gunung Nenek Semungkut atau Big Wall Dragon Horn di Pulau Tioman.

Katanya, setakat ini sudah empat kali ekspedisi ke Big Wall Dragon Horn dilakukannya dan turut bekerjasama dengan Persatuan Pergunungan Cina dari China untuk menerokai laluan baru di kawasan pendakian berkenaan.

“Aktiviti mendaki cerun ini menarik untuk disertai kerana ia boleh memberi kesan positif kepada individu terutama kecergasan fizikal dan mental. Ini kerana apabila mendaki, kita memerlukan kekuatan dua perkara berkenaan.

“Bagi pendaki yang serius seperti saya, latihan intensif sememangnya perlu dan ketika ini saya dalam proses melayakkan diri untuk kejohanan Olimpik Tokyo 2020 menerusi sukan mendaki cerun,” katanya yang turut aktif dalam ekspedisi mendaki gunung itu.

Pada 2013, Fizi juga pernah terbabit dalam Ekspedisi Everest Felda 2013 sebagai kru sokongan dan berada di kem induk gunung berkenaan selama dua bulan bagi memberi latihan kemahiran teknikal pendakian cerun kepada pendaki utama.

Ketika ditanya berkenaan persediaan memburu kelayakan ke Olimpik, Fizi berkata, latihan insentif lima hari seminggu secara agresif sedang dilakukannya.

Katanya, selain Taman Cabaran Putrajaya (PCP), dia juga melakukan latihan di Gua Damai, Batu Caves, Selangor dan menyertai beberapa kejohanan nasional yang berlangsung di lokasi lain bagi membiasakan diri dengan cabaran laluan pendakian.

“Mendaki tembok dan cerun sebenarnya mempunyai kepuasannya tersendiri tidak kira sama ada menjadi atlet atau sekadar aktiviti mengisi masa lapang.

“Bagi saya, selain memberi kesan kepada kecergasan stamina, ia juga menjadikan kita lebih berdisiplin untuk membuat persiapan atau perancangan awal dalam setiap aktiviti yang ingin dilakukan,” katanya.

Ketika diminta pendapat mengenai kemudahan latihan mendaki tembok dan cerun di Malaysia, dia berkata, negara kita mempunyai banyak lokasi yang berpotensi dan sesuai melakukan aktiviti pendakian.

Tambahnya, perkara paling utama ialah perlu ada pihak yang bersama-sama membangunkan kawasan berpotensi berkenaan kerana ada antara lokasi di Malaysia diterokai pendaki asing.

“Perkara ini menunjukkan bahawa lokasi untuk mendaki itu ada, cuma pihak untuk menerokai kawasan itu saja yang masih belum ramai. Inilah sebabnya saya bersama komuniti pendaki lain turut giat membuka beberapa laluan pendakian baru seperti di Big Wall Dragon Hall.

“Malaysia mempunyai cerun unik dan pemandangan hijau yang mampu menarik kehadiran lebih ramai komuniti pendaki asing sekiranya banyak lokasi pendakian diwujudkan,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 12:28pm
d