nuansa

Siswa UPSI bangunkan Geo-Sites

Oleh Ihsan Noorzali

Seramai 33 siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengambil kursus Pengajaran, Penaksiran dan Teknologi 1 semester satu sesi 2017/2018 berjaya membangunkan sebuah pangkalan data dikenali sebagai Geo-Sites.

Ia menjadi sumber rujukan baru bagi mata pelajaran geografi tingkatan satu hingga lima dalam masa 14 minggu, baru-baru ini.

Geo-Sites itu turut bertujuan menyediakan pelbagai bahan pengajaran dan pembelajaran yang bermanfaat dan sesuai untuk digunakan guru dan pelajar di sekolah.

Pensyarah kursus, Dr Mohd Hafiz Md Hanif yang juga ketua projek itu berkata, medium berkenaan dapat melatih bakal guru berkongsi fikiran dan ilmu bukan saja di dalam kelas, malah guru.

Katanya, inovasi itu terhasil selepas melihat banyak laman sesawang yang kurang sistematik dari segi koordinasi penggunaannya.

“Geo-Sites memberi manfaat berikutan input yang terkandung lebih informatif, interaktif dan menarik minat pengguna.

“Pada masa sama, Geo-Sites diharapkan dapat memenuhi keperluan guru kerana inovasi dalam teknologi pendidikan ini membolehkan guru dan pelajar memperoleh rujukan dengan mudah serta percuma. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mengakses pautan Google-Sites yang disediakan,” katanya.

Dr Mohd Hafiz berkata, penuntut akan menyiapkan pelbagai jenis rujukan tambahan untuk dimasukkan dalam setiap ruangan Geo-Sites itu mengikut peringkat tingkatan yang ditetapkan diikuti semakan hasil kerja di dalam Geo-Sites yang dibuat setiap minggu.

Ia bagi memastikan maklumat atau nota yang disediakan penuntut sesuai dan bertepatan mengikut corak pendidikan abad ke-21 kini.

Katanya, sepanjang projek Geo-Sites selama 14 minggu, siswa juga berkesempatan menerokai dan mengenali lebih dekat penggunaan Google-Sites menerusi mata pelajaran geografi, selain hanya mengakses saja rujukan yang lain.

Penuntut, Faiz Sudin, 22, berkata, Geo-Sites yang dibangunkan itu membantu dirinya lebih mengenali kaedah dalam menggunakan Google-Sites sebagai alat bantu mengajar termasuk teknik pengajaran dan pembelajaran berkesan dan mudah untuk digunakan ketika latihan mengajar di sekolah nanti.

Sebelum ini, siswa semester lima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Geografi) dan rakannya merujuk laman sesawang lain untuk mendapatkan maklumat penggunaan latihan dan nota bagi membuat perancangan pembelajaran yang diletakkan di dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH).

“Selain dapat membangunkan Geo-Sites yang memberi sumbangan penting kepada guru dan pelajar, kemahiran serta pengalaman ini cukup berharga untuk membantu kami dalam alam kerjaya sebagai seorang pendidik satu hari nanti,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 2:50pm
d