nuansa

Nilai eksklusif dewan bertam

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Sejuk dan mendamaikan. Itu yang dirasakan sebaik kaki melangkah masuk ke Balai Desa Semai di Perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Lah, Tapah, Perak.

Bukan itu saja, penulis juga terpegun melihat keindahan seni anyaman pada dinding dan siling balai berkenaan kerana ia begitu halus serta menarik.

Terserlah nilai eksklusif pada balai berkenaan meskipun ia diperbuat menggunakan kulit dan batang pokok bertam.

Pokok bertam atau nama saintifiknya Eugeissona tristis ialah sejenis pokok palma yang hidup merata di dalam hutan pedalaman Semenanjung Malaysia.

Balai Desa Semai berkeluasan 24.4 meter (m) x 12.2m itu adalah projek Fakulti Seni Rekabentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilaksanakan September tahun lalu.

Uniknya, projek itu mengetengahkan teknik pembinaan kendiri iaitu gabungan ilmu, teknologi dan membabitkan masyarakat dalam pembinaan balai berkenaan.

Projek yang hampir siap itu dibina dengan anggaran kos RM50,000 hasil sumbangan Rotary Club dan beberapa agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Ipoh (MPI).

Baru-baru ini, penulis berkesempatan mengikuti lawatan ke tapak projek itu bersama Dekan Fakulti Seni Rekabentuk dan Seni Bina UPM Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir, Ketua Projek, Projek Balai Desa Semai Prof Madya Dr Meor Mohammed Fared Meor Razali dan Penyelidik Projek Balai Desa Semai Dr Wan Srihani Wan Mohamed.

Sememangnya penulis sangat teruja menyertai lawatan itu dan menganggap ia antara pengalaman berharga kerana pertama kali berpeluang melihat sendiri keunikan pembinaan menggunakan pokok bertam.

Pembinaan dewan itu juga memberi nilai tambahan kepada kira-kira 180 penduduk di kampung berkenaan dan Perkampungan Orang Asli Kampung Kolam apabila ia bakal digunakan sebagai dewan komuniti serta perpustakaan kecil untuk pembangunan mereka.

Dr Wan Srihani berkata, dari segi konsep projek Balai Desa Semai sudah lama dan ia adalah kesinambungan projek Teratai Semai yang dilaksanakan di Kampung Batu 16, 17 dan Kampung Batu 5, Tapah sebelum ini.

“Kami memilih bertam sebagai material projek ini kerana keunikannya selain bersifat mesra alam dan mudah didapati dari hutan berhampiran kampung terbabit.

“Pokok bertam begitu dekat dengan masyarakat Orang Asli kerana dahulunya kebanyakan kediaman mereka diperbuat daripada bahan itu sebelum beralih kepada konkrit,” katanya.

Beliau berkata, meskipun mereka mendiami rumah konkrit pastinya ada membuat sambungan rumah di bahagian belakang menggunakan konsep tradisional iaitu bertam.

Katanya, konsep pembinaan Balai Desa Semai dan Teratak Semai pada asasnya adalah sama tapi bahan binaannya berbeza kerana terdapat campuran konkrit di balai berkenaan sedangkan Teratak Semai menggunakan buluh dan kayu sepenuhnya selain lebih menampilkan ciri tradisional.

Jelasnya, Balai Desa Semai pula berkonsepkan separuh moden kerana selain bertam, bahan konkrit dan kayu untuk dinding atas diketengahkan bagi memenuhi permintaan penaja iaitu Rotary Club yang mahu pembinaan lebih kukuh.

“Selain kontraktor dan masyarakat Orang Asli, kerja pembinaan Balai Desa Semai turut membabitkan sukarelawan yang terdiri daripada penuntut institut pengajian tinggi termasuk UPM.

“Semua penuntut itu sedang menjalani latihan industri di beberapa syarikat yang mendapat kebenaran daripada majikan mereka untuk terbabit dalam program berkenaan bagi menimba pengalaman tambahan,” katanya.

Katanya, sepanjang pembabitannya, mereka didedahkan dengan kerja pembinaan bermula daripada membancuh simen hingga ke peringkat akhir.

Malah projek itu juga turut mendidik penuntut menjadi arkitek serba boleh dan pembabitan mereka memberikan pengalaman langsung di tapak serta teknik pembinaan.

“Kami tidak mahu pelajar hanya duduk di studio dan sebaliknya perlu juga pergi ke tapak pembinaan. Konsep asas pembinaan adalah sama walaupun membuat reka bentuk bangunan berteknologi tinggi.

“UPM memberi pendedahan dengan projek berskala kecil seperti Balai Desa Semai supaya mereka tidak kekok apabila menempuh alam pekerjaan sebenar dan pengalaman ini sangat berharga bagi seorang penuntut,” katanya.

Sementara itu, penggunaan bertam dapat menghidupkan semua kemahiran menganyam dalam kalangan masyarakat Orang Asli terutama golongan muda.

Selain itu Dr Wan Srihani juga mengharapkan masyarakat lebih menghargai seni yang menjadi antara warisan negara.

Sementara itu Dr Osman berkata, Fakulti Seni Rekabentuk dan Seni Bina UPM sentiasa menerapkan unsur kelestarian dalam pembinaan, reka bentuk, praktikal dan amalan.

Katanya, bukan pensyarah saja perlu ke lapangan tapi penuntut juga perlu berbuat demikian bagi menimba pengalaman.

“Kami mengharapkan projek ini menjadi perintis dan model di samping idea itu boleh diterapkan kepada komuniti di tempat lain sama ada peringkat kampung, daerah, negeri atau kebangsaan.

“Saya berasakan pembabitan semua pihak dalam projek ini penting bagi mengenengahkan idea berkenaan untuk mewujudkan persekitaran kehidupan yang kondusif,” katanya.

Jelasnya, projek itu juga mengambil kira keperluan dan kehendak masyarakat setempat di kampung berkenaan.

Selain menggalakkan pembabitan bersama antara pensyarah dan penuntut, jaringan industri dengan masyarakat juga penting.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Lah Setom Taman berkata, penggunaan bertam dalam pembinaan balai berkenaan dapat mengembalikan semula tradisi budaya masyarakat terbabit.

“Ini kerana proses menggunakan bertam dalam pembinaan rumah agak renyah menyebabkan masyarakat Orang Asli kini lebih gemar memilih rumah konkrit.

“Pokok bertam ini diambil dari Kampung Batu 5, Cameron Highlands dan perlu melakukan beberapa proses sebelum digunakan bagi tujuan pembinaan.

“Kulit bertam disiat dan dijemur selama dua hari hingga betul-betul kering, kemudian baru dianyam untuk dijadikan dinding selain siling rumah,” katanya.

Satu lagi katanya, kekangan dihadapi ialah untuk mendapatkan orang yang berkebolehan menganyam kulit bertam kerana bilangannya semakin berkurangan.

“Apabila kulit bertam di bawa ke sini, ramai anak muda di sini tertanya-tanya kerana mereka tidak pernah melihatnya sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 1:53pm
d