nuansa

Ada kejohanan peringkat serantau, dunia

Oleh Hafiz Ithnin

Ada antaranya sudah bergelar atlet, siap sedia bersama papan gelongsor, menanti penuh sabar dan sudah pasti juga ingin menunjukkan kemahiran serta gaya masing-masing.

Sebaik saja suis ditekan, secara automatik pancutan air berderu menembak sehingga ke hujung platform yang bermaksud permainan sudah bermula!

Itulah situasi yang berlaku ketika penulis membuat liputan sukan luncur ombak.

Meluncur arus adalah pecahan daripada aktiviti sukan meluncur ombak yang biasanya dilakukan di kawasan pantai dan menjadikan ombak sebenar sebagai platform untuk beraksi.

Berbanding aktiviti meluncur ombak di pantai, di sini pemain bergantung kepada sistem simulator menggunakan platform seakan-akan gelongsor di taman permainan kanak-kanak tetapi bentuknya lebih panjang dan lebar yang sesuai dengan kehendak penunggang untuk beraksi sama seperti bermain ombak.

Dari segi papan gelongsor yang digunakan juga berbeza daripada aktiviti meluncur arus kerana ukurannya sedikit pendek dan terdapat dua jenis papan yang biasa digunakan iaitu ‘flowboard’ dan ‘bodyboard’.

Penulis difahamkan ‘flowboard’ biasanya mempunyai ciri memudahkan peluncur untuk berdiri dengan saiz antara 36 inci sehingga 42 inci (90 hingga 105 sentimeter) panjang dan 11 hingga 14 inci (27.5 hingga 35 sentimeter) lebar. Berat bagi flowboard boleh mencapai sehingga 2.8 kilogram.

‘Bodyboard’ pula digunakan bagi memudahkan peluncur untuk membuat aksi melutut sama ada sebelah atau kedua-dua belah kaki atau meniarap di atasnya. Saiznya pula antara 34 hingga 46 inci (85 hingga 115 sentimeter) dan pemilihan saiz bodyboard ini bergantung kepada berat dan tinggi peluncur. Namun biasanya pemilihan dibuat berdasarkan panjang bodyboard yang setara dengan pusat seseorang peluncur apabila ia ditegakkan.

Melihat persembahan peluncur arus sememangnya mengujakan kerana setiap aksi yang dilakukan di platform simulator berkenaan perlukan kemahiran yang tinggi terutama untuk mengimbangkan badan di atas papan gelongsor.

Aktiviti meluncur arus simulator ini sememangnya popular sehingga wujud kejohanan membabitkan pertandingan di peringkat serantau mahupun dunia.

Antara negara di Asia yang sering menganjurkan kejohanan meluncur arus ialah Malaysia, Thailand, Indonesia, Korea, China, Jepun, Filipina dan Singapura.

Dalam kejohanan meluncur arus, rakyat Malaysia sendiri pernah menyertainya dan berjaya menempatkan diri dalam kedudukan terbaik.

Maka tidak hairan komuniti peluncur arus aktif mempelajari pelbagai kemahiran baru bagi menggilap gaya untuk dipersembahkan dalam kejohanan yang disertai mereka.

Antara gaya yang biasa dilakukan ialah ‘Prone’ (peluncur beraksi dalam keadaan berbaring), ‘Double Knee’ (melutut kedua-dua belah kaki), ‘Drop Knee’ (melutut sebelah kaki) dan ‘360 Spin’ (memusingkan papan gelongsor 360 darjah secara berdiri atau duduk).

Komuniti aktiviti meluncur arus di Malaysia masih kecil tetapi mereka mempunyai minat mendalam untuk mempelajari kemahiran baru bagi mempelbagaikan aksi tunggangan papan gelongsor.

Ketika ini, hanya ada dua lokasi meluncur arus di Malaysia iaitu di Taman Tema Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor dan terbaru, di Floor Rider di aras bawah Pusat Membeli-belah One Utama, Petaling Jaya.

Menariknya Floor Rider di One Utama itu diwujudkan khas untuk peminat aktiviti ini dan konsepnya jauh berbeza dengan taman tema air yang lain. Maksudnya, pengunjung yang pergi ke sana memang sudah bersedia untuk meluncur arus saja.

Tidak ketinggalan, kemudahan meluncur arus di sini juga menyediakan jurulatih berpengalaman untuk membantu mereka yang baru membabitkan diri dalam aktiviti berkenaan.

Khidmat jurulatih itu termasuk di dalam yuran masuk yang dikenakan kepada pengunjung iaitu RM45 sejam pada hari bekerja dan RM55 sejam pada hujung minggu atau cuti umum.

Selain itu, mereka yang ingin ke sana juga tidak perlu risau untuk membawa papan gelungsur kerana ia disediakan bagi memudahkan pengunjung.

Aktiviti meluncur ombak juga boleh disertai kanak-kanak dengan syarat ketinggian mereka mestilah melebihi 107 sentimeter. Maknanya, seisi keluarga juga boleh berseronok mempelajari kemahiran baru bersama-sama untuk mengisi waktu santai.

Ketika majlis pelancaran Floor Rider baru-baru ini, ia turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kerana kewujudan lokasi meluncur arus di Malaysia mampu meningkatkan kehadiran pelancong dalam segmen pelancongan sukan.

Maka, dengan kewujudan lokasi meluncur arus yang lebih banyak di Malaysia membolehkan negara menjadi tuan rumah bagi kejohanan sukan berkenaan sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pelancong sukan pada masa depan.

Jadi apa tunggu lagi? Jom meluncur arus!

Disiarkan pada: February 13, 2018 @ 4:04am
d