nuansa

Rakam detik sentuh emosi

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Gabungan dua elemen iaitu visual kilat sabung-menyabung dan kehadiran kakitangan pembersihan yang gigih membersihkan sisa runtuhan tanah ketika hujan lebat menjadikan gambar ini sangat menarik.

Gambar yang terhasil menerusi sentuhan kreatif jurufoto The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Syarafiq Abd Samad yang merakamkan ‘peristiwa’ berkenaan ketika membuat liputan kejadian tanah runtuh di Putra Height, Subang Jaya, Selangor pada 2013.

Penulis sendiri terpegun melihat gambar itu ketika mengunjungi Pameran A Tribute To Life di Galeri Media Prima, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pameran yang berlangsung dari 5 Februari hingga 9 Mac itu mempamerkan 80 gambar terbaik daripada lebih 35 jurufoto NSTP.

Syarafiq berkata, dia merakam gambar itu secara spontan dan melakukannya lebih 10 kali hingga mendapat sudut terbaik.

“Gambar ini diambil pada jam 7 malam dan ketika itu hujan lebat. Hari yang semakin gelap menyukarkan gambar tanah runtuh dirakam.

“Sementara menunggu hujan berhenti, tiba-tiba terlintas dalam fikiran untuk merakam gambar kilat sabung- menyabung,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, gambar itu antara koleksi terbaik miliknya. Malah dia juga tidak menyangka ia menjadi salah satu daripada empat gambar miliknya yang menjadi pilihan pihak galeri untuk dipamerkan.

Sementara satu lagi gambar dipamerkan pula sarat dengan elemen kesedihan berikutan insiden kebakaran sebuah maahad tahfiz di Klang pada 2013.

“Gambar ini saya fokuskan kepada sekumpulan pelajar maahad sedang menangis dan keadaan mereka ketika itu memang meruntun jiwa sesiapa saja yang melihatnya.

“Ketika itu suasana di maahad terbabit kelam-kabut kerana masing-masing panik dengan kejadian yang berlaku,” katanya.

Sementara itu Pengurus Galeri Prima Norazlinda Aziz berkata, pameran berkenaan diadakan sempena Pameran KL Biennale 2017 yang berlangsung dari November tahun lalu sehingga Mac ini.

“Pameran KL Biennale 2017 bertemakan ‘Belas’ iaitu ‘Be Loved’ terbahagi kepada lima teras iaitu belas haiwan, ihsan, warisan, alam dan kerohanian

“Kami merangkumkan kelima-lima konsep itu dalam pameran ini yang mempunyai keunikan tersendiri,” katanya.

Katanya, koleksi gambar terbabit diperoleh daripada arkib NSTP dan menyarankan jurugambar menghantarnya ke galeri.

“Gambar yang dipamerkan itu juga yang belum pernah disiarkan dalam akhbar dan ia pertama kali dianjurkan dalam skala besar.

“Pameran ini juga untuk menonjolkan bakat jurugambar kepada masyarakat umum,” katanya.

PAMERAN A TRIBUTE TO LIFE

• ARTIS: 35

• KARYA: 80

• TARIKH: 5 Februari hingga 9 Mac 2018

• MASA: 10 pagi hingga 6 petang

• LOKASI: Galeri Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, Kuala Lumpur.

• FACEBOOK: galeri.prima

Disiarkan pada: February 14, 2018 @ 11:46am
d