nuansa

Matlamat KRUM tercapai

Oleh HM Digital

Pengenalan rekreasi men­jadi sebahagian kemahiran insaniah kepada siswa bagi mengukuhkan jati diri.

Peka dengan keperluan itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melalui Kelab Rekreasi UniKL Malaysia Institute Information of Technology (MIIT)(KRUM) menganjurkan program Pengenalan Rekreasi Gaya Hidup Kampus di Pantai Kerachut, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Perkhemahan selama tiga hari itu disertai 77 peserta meliputi siswa, alumni dan pegawai jemputan khas.

Presiden KRUM 2018 Muhammad Hafizin Hilmi Zaidi berkata, kebanyakan peserta pertama kali mengikuti perkhemahan itu.

Bagaimanapun, katanya, peserta memberi kerjasama dan peranan sepanjang aktiviti berlangsung.

“Saya bangga KRUM menjadi platform untuk peserta mempelajari dan merasai pengalaman baru.

“Pada masa sama saya harap bukan komuniti KRUM saja yang membangun kelab ini tapi seluruh keluarga UniKL,” katanya.

Peserta Assaidah Aisyah Yusry, 22, berkata, banyak ilmu rekreasi dipelajarinya sepanjang perkhemahan itu khususnya pertolongan cemas.

“Ketika digigit kala jengking, saya tidak sangka bantuan keselamatan yang diberikan petugas biarpun ringkas, tidak mencetuskan rasa panik.

“Saya diberikan air kopi dan ubat tahan sakit kerana dipercayai mampu ‘meneutralkan’ bisa daripada terus merebak.

“Situasi itu membuktikan bahan di sekitar kita boleh membantu rawatan,” kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Komputer dan Keusahawanan itu.

Penuntut tahun satu Teknologi Informasi, Farah Amirah Abdul Latif, 21, pula begitu teruja menyertai perkhemahan itu kerana ia pengalaman pertama berjauhan dengan keluarga dalam tempoh yang lama.

“Banyak aktiviti menarik, antaranya cara menyusun barang dalam beg supaya ia selesa dibawa dan boleh dijadikan alat keselamatan jika jatuh ke laut.

“Malah komuniti yang menyertai perkhemahan juga sangat membantu dan saya tidak malu untuk bertanya dan dirasakan sebagai satu keluarga,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Firdaus Amir Sharifuddin, 23, penuntut Kejuruteraan Teknologi Elektrik berkata, walaupun sudah menyertai hampir 20 perkhemahan, kem KRUM banyak membantu dan meningkatkan kemahiran insaniahnya.

“Pembinaan modul yang mantap membolehkan saya memahami dengan jelas khususnya berkaitan ikatan, ikhtiar hidup di dalam hutan dengan makanan terhad dan asas perubatan,” katanya.

Begitu juga dengan Munawwaruzzaman Siddique Mohd Nasir, 22, yang berpendapat selain mengenali lebih ramai rakan, perkhemahan itu meningkatkan kemahiran mendaki.

“Saya tertarik menyertai perkhemahan ini kerana ada aktiviti mendaki. Banyak langkah dan tip diajar untuk aktiviti ini.

“Saya sangat gembira dan berminat mengikuti program seperti ini lagi. Banyak ilmu bermanfaat diperoleh sepanjang perkhemahan ini,” katanya.

Pegawai Rekreasi UniKL Mohd Zulkifli Md Salleh berkata, program berpaksikan asas rekreasi tahap satu kali ke-50 itu mencapai matlamat KRUM iaitu peserta juga mendapat pengetahuan asas rekreasi yang lengkap dan bermanfaat.

“Tujuan siswa masuk ke institut pengajian tinggi (IPT) ialah belajar berkenaan input akademik di samping kemahiran insaniah kurang diterapkan.

“Melalui rekreasi ini, diharap ia mengukuhkan jati diri peserta dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Di samping itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk ikatan, pengurusan beg, asas perubatan, aktiviti kebudayaan dan mendaki.

Lebih menarik, peserta turut berpeluang melepaskan penyu berusia kira-kira lapan tahun dari Pusat Konservasi Penyu Pantai Kerachut ke laut. -Fazurawati Che Lah

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 2:07pm
d