nuansa

Jimat belanja, badan sihat

Oleh Aniza Zainudin

Kehijauan kebun mini dipenuhi variasi tumbuhan herba, sayuran dan bungaan disempurnakan dengan susunan landskap yang menarik, pasti ramai tidak menyangka ia diusahakan sepenuhnya oleh penduduk setempat.

Merangkul tempat pertama bagi Pertandingan Kebun Komuniti Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2017, Kebun Komuniti USJ 6 yang diusahakan 27 pekebun dan 13 sukarelawan ini me­nyokong kempen hijau de­ngan memanfaatkan kawasan lapang di sekitar kediaman.

Menurut Setiausaha Persatuan Penduduk USJ 6, Patsy Lo, penyertaan mereka dalam projek Kebun Komuniti masih baru berbanding komuniti peserta sedia ada.

“Kebun Komuniti USJ 6 ini dimulakan pada Jun 2015 dan pekebun ‘bidan terjun’ yang ada mempunyai latar belakang kerjaya berbeza namun masing-masing komited dengan tugasan ini.

“Tujuan utama kami menyertai projek ini adalah ingin menanam sayuran yang tidak mengandungi bahan kimia untuk kegunaan sendiri.

“Jika dibandingkan menanam sayuran di kawasan rumah, ruang sangat terhad begitu juga hasilnya. Justeru, dengan menyertai projek ini memberi kebebasan kepada kami untuk menanam pelbagai jenis tanaman diperlukan dan menghasilkan landskap lebih kreatif.

“Memahami tanggung­jawab bersama dalam penanaman dan penjagaan tanaman, kami turut bekerjasama mencantikkan lagi persekitaran kediaman de­ngan landskap yang menarik.

“Hasil daripada inisiatif ini, kesedaran dalam kalangan masyarakat juga mening­kat seterusnya memulakan projek hijau di kediaman sendiri.

“Ini terbukti apabila kian ramai pemilik rumah menanam sayuran di halaman depan ataupun belakang secara kecil-kecilan,” katanya.

Turut mengharapkan usaha berkebun ini diterap sebagai satu aktiviti sihat harian, Patsy berkata, usaha ini bukan saja mengeratkan hubungan antara penduduk bahkan berupaya mengurang­kan perbelanjaan isi rumah dari kebun ke dapur.

Menyentuh perancangan menambah baik kebun komuniti, wanita ini berhasrat mengekalkan penanaman sedia ada dengan baik kerana peruntukkan tanah mereka miliki terhad.

Kekalkan sayuran organik

Penanaman sayuran 100 peratus organik menjadi keistimewaan Kebun Komuniti Apartment Garnet, Puchong yang diusahakan penduduk setempat dalam usaha mengurangkan kos perbelanjaan dapur.

Memenangi pelbagai anugerah kempen hijau, inisiatif pelaksanaan projek Kebun Komuniti dimulakan menerusi program MPSJ Zon Bersih pada 2013 menjadi titik tolak kerjasama erat antara penduduk di kawasan kediaman berkenaan.

Penyelia Kebun Komuniti Apartment Garnet, Mohd Rezal Hassim, 46, me­ngakui objektif awal hanya bertujuan mengurangkan kos perbelanjaan dapur menerusi penanaman pelbagai sayuran.

“Di kebun ini, saya bersama 21 pekebun tegar memperkenalkan konsep 100 peratus organik bagi menjamin keselamatan makanan kepada komuniti kami di sini.

“Menerima khidmat nasihat dan tunjuk ajar daripada MPSJ dan Jabatan Pertanian Selangor, kami turut diajar untuk menghasilkan pembuatan baja kompos dan racun organik.

“Peluang mempelajari ilmu baru terutama dalam sektor pertanian memberi keseronokan kepada komuniti di sini. Ini juga ruang terbaik buat kanak-kanak untuk mengenali jenis sayuran, teknik penanaman mahupun penjagaannya.

“Anak ini juga diajar disiplin diri supaya tidak sewenang-wenangnya mencabut atau merosakkan tumbuhan hidup yang dijumpai di sekitar kebun.

“Tambahan pula, kami juga memperkenalkan konsep kebun terbuka tanpa pagar, justeru landskap pertanian tidak terhad kepada pekebun yang aktif ini sahaja untuk dinikmati,” jelasnya.

Menerima lawatan dari sebuah universiti dari Jepun sekitar 2013, Mohd Rezal dan pasukannya merancang untuk mempelbagaikan teknik penanaman termasuk hidroponik serta percubaan menanam variasi sayuran berasal dari tanah tinggi seperti kubis.

Berkongsi cabaran menjayakan program hijau ini, Mohd Rezal berkata, penerimaan awal agak dingin kerana ia sesuatu yang baru cuba diterapkan dalam ma­syarakat di Subang Jaya.

Bagi melayakkan kediaman mereka menyertai projek Kebun Komuniti, Mohd Rezal perlu mengumpulkan ahli pasukan seramai 15 orang dan ia bermula dengan sukar.

Apabila memenangi Anugerah Khas Juri (Kebun Komuniti) Terbaik Zon Bersih pada 2013, ia ibarat membuka mata penduduk lain untuk menyokong usaha dimulakan pekebun awal, sekali gus ia mengeratkan lagi silaturahim antara mereka.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 11:33am
d