nuansa

Jalan itik masuk gua

Oleh Recqueal Raimi

Laluan sempit, licin dan berbatu. Ada kalanya, perlu merangkak dan meredah air yang bertakung.

Itu antara pengalaman mencabar yang ditempuh penulis dan 14 peserta yang menyertai aktiviti meneroka Gua Lugas di Kampung Kapa, Tamparuli, Sabah.

Bagaimanapun, semua itu bukan halangan untuk menyertai aktiviti ini. Penulis pula, jarang berpeluang untuk menyertai aktiviti lasak sebegini.

Sebelum memulakan aktiviti itu, pemandu pelancong, Robert Sopining, awal-awal lagi memberikan taklimat keselamatan kepada semua peserta.

Kami diberitahu supaya memakai pakaian dan kasut yang sesuai kerana ada kalanya perlu memanjat batu agak licin.

Bagi memudahkan pergerakan, peserta digalakkan menggunakan beg kalis air untuk membawa peralatan khas.

Kebanyakan peserta teruja dapat menyertai aktiviti ini, meskipun belum mengetahui cabaran yang bakal ditempuhi.

Dari titik permulaan, kami perlu meredah denai sejauh dua kilometer (km) dan menuruni bukit sebelum sampai ke pintu gua.

Kami kemudian tiba di pintu gua itu sebelum menempuh perjalanan kira-kira 800 meter (m).

Laluannya agak mencabar dan memerlukan seseorang itu berhati-hati dan fokus kepada laluan untuk mengelak tergelincir.

Ini memandangkan keadaan ruang yang sempit, licin dan berbatu.

Ada kalanya, terdetik perasan cemas apabila perlu merangkak sambil merentasi air yang bertakung.

Sekiranya tersilap langkah, pasti tergelincir atau terhantuk pada dinding batu.

Di beberapa tempat, kami perlu merendahkan badan dan berjalan seperti itik.

Ketika itu, terdetik perasaan bimbang memandangkan paras air sudah mencecah bahu kami.

Difahamkan, jika hujan lebat, paras anak sungai yang bertakung dalam gua itu akan meningkat.

Menurut Robert, dalam situasi itu, pengunjung perlu menyelam beberapa saat untuk ke ruang berikutnya dalam gua itu.

Bagaimanapun, peserta tidak perlu risau kerana ada beberapa laluan keluar daripada gua sekiranya tidak mahu melalui laluan sempit atau bertakung.

Keletihan memanjat batu dan merangkak bagaimanapun hilang sekelip mata sebaik menyaksikan keunikan di dalam gua ini.

Apa tidaknya, jarang sekali kita temui batu dalam beberapa bentuk tertentu.

Kami turut teruja melihat hidupan yang mendiami gua ini termasuk kelawar dan burung layang-layang.

Namun Robert mengingatkan kami untuk tidak membuat bising kerana takut mengganggu kelawar dan burung layang-layang yang menjadi penghuni tetap gua berkenaan.

Selepas hampir setengah jam, kami keluar dari gua ini membawa bersama kenangan manis.

Penerokaan Gua Lugas ini membawa kepada seribu satu kenangan kepada penulis dan peserta lain yang tentunya menanam impian untuk kembali menyertai aktiviti sebegini satu hari nanti.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 12:09pm
d