nuansa

Air terjun deras cabaran utama

Oleh Hafiz Ithnin

Tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur sejauh kira-kira 160 kilometer (km) menghala ke Sri Jaya, Maran, Pahang mengambil masa kira-kira dua jam setengah, dirasakan tidak jauh dengan lokasi air terjun yang dituju.

Namun andaian penulis ternyata meleset kerana masih berbaki 16km lagi laluan denai yang perlu kami tempuhi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Jalan berlopak dipenuhi air dan lumpur menjadi peneman setia sepanjang merentasi jalan denai berkenaan.

Bagi penulis, jika bukan kenderaan empat roda sudah pasti tayar tersangkut teruk di dalam lopak air yang boleh dianggap kolam kecil. Itu belum lagi lumpur ‘licin’ yang lebih menyukarkan pergerakan tayar.

Manisnya untuk dikenang pengalaman sarat dengan 1,001 halangan itu, semata-mata mahu menuju ke Hutan Lipur Jerangkang yang terdapat lokasi air terjun menarik untuk melakukan aktiviti perkhemahan dan tali tinggi.

Turun dari pacuan empat roda itu, kami perlu berjalan kira-kira lima minit ke tapak perkhemahan sambil telinga menangkap bunyi deruan air sungai hutan lipur itu.

Ketika tiba di kawasan perkhemahan, kelihatan ruang untuk menginap begitu luas. Rasanya, jika termasuk tapak khemah dan buaian kanvas (hammock) mungkin boleh memuatkan sekitar 100 orang.

Tidak hairanlah hutan lipur itu sering menjadi lokasi pencinta alam dan penggemar aktiviti luar untuk bersantai kerana lokasinya dilengkapi kemudahan tapak perkhemahan yang luas.

Bagaimanapun, tapak perkhemahan itu bukan perkara utama yang ingin diketengahkan penulis sebaliknya berkenaan air terjun hutan lipur berkenaan sebagai lokasi popular aktiviti tali tinggi.

Penulis difahamkan, terdapat lebih 30 kolam di kawasan air terjun hutan lipur itu yang boleh diakses pengunjung.

Menariknya, lokasi yang biasa untuk aktiviti tali tinggi ialah di kolam kelima kerana terdapat ruang berkhemah dan mudah diakses pengunjung berbanding kolam lebih tinggi kerana perlu mendaki.

Antara faktor air terjun hutan lipur itu sering kali menjadi destinasi pilihan aktiviti tali tinggi kerana masih bersih dan terpelihara.

Rata-rata, aktiviti pertama di kawasan berkenaan ialah ‘water abseiling’ apabila air terjun mengalir deras dari kolam kedua menjadi cabaran utama kepada pengunjung untuk menuruni tebing batu.

Operator terlebih dulu memberi penerangan berkenaan kelengkapan, kemahiran mengawal tali untuk menuruni tebing batu dan langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti berkenaan.

Bagi yang kali pertama melakukan aksi menuruni tebing batu berarus deras itu, tidak perlu panik kerana ada pengawal tali (belayer) yang berada di bawah sentiasa bersedia untuk membantu anda.

Sekurang-kurangnya dua hari tempoh paling singkat untuk berkunjung ke hutan lipur itu. Hari pertama untuk melakukan water abseiling.

Sementara hari kedua pengunjung boleh mencuba aktiviti ‘fly & drop’ di kolam ke tiga kerana di situ kawasannya lebih tinggi dan terdapat pokok untuk memudahkan pemasangan tali.

Melakukan aktiviti fly & drop juga menarik kerana peserta perlu berani untuk ‘menjatuhkan’ diri ke dalam kolam sebaik saja anduh (sling) yang dipaut berada di bahagian penghenti (stopper).

Ketika berada di situ, pelbagai aksi jatuhan dapat disaksikan dan jelas terpancar pada wajah masing-masing rasa puas sebaik saja berjaya melakukan aktiviti berkenaan.

Dalam kata lain, aktiviti tali tinggi di kawasan air terjun bukan sekadar untuk mencabar keberanian malah dapat mengisi waktu santai sambil menikmati khazanah alam yang masih terpelihara.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 12:17pm
d