nuansa

Lari bawa anak pokok

Oleh Fazurawati Che Lah

Institut Sains Biologi, Universiti Malaya (UM) menganjurkan program larian Soil Fun Run bertempat di Fakulti Sains, UM, baru-baru ini.

Berkonsepkan larian santai, program ini disertai hampir 500 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur.

Pelepasan peserta dilakukan Dekan Fakulti Sains UM, Prof Dr Zanariah Abdullah pada jam 7.00 pagi.

Pensyarah Institut Sains Biologi Dr Rosazlin Abdullah berkata, program yang menerima kerjasama Persatuan Sains Tanah Malaysia, Rimba Ilmu, dan Pusat Keusahawanan UM (UMEC) ini antara lainnya dianjurkan dengan tujuan memberi pendedahan kepada peserta berkenaan kepentingan sains tanah dan kaitannya dengan kelestarian alam sekitar.

“Perkongsian maklumat diharap tercapai melalui program jalinan masyarakat yang berbentuk santai yang turut mempromosi gaya hidup sihat,” katanya.

Katanya, bagi mencapai tujuan itu, penganjur menyediakan lima stesen aktiviti di sepanjang laluan larian berjarak lima kilometer itu untuk dilaksanakan setiap peserta.

“Aktiviti yang disediakan termasuk mengenal jenis tanah, mengenal pasti tanaman yang bersesuaian menurut jenis tanah, mempelajari kepentingan cacing untuk kesuburan tanah dan menanam anak pokok di dalam beg polietilena yang disediakan.

“Peserta boleh memilih sama ada untuk menanam anak pokok pisang atau pokok cili dan kemudian perlu membawanya ke lokasi akhir larian di Fakulti Sains UM,” katanya.

Program larian yang pertama kali diadakan itu dilengkapi dengan pameran dari Bahagian Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Tanah, Jabatan Pertanian Malaysia.

Menurut Pegawai Jabatan Pertanian Malaysia, Ahmad Nazri Abdullah Zawawi, penyampaian maklumat kepada orang awam dari pelbagai lapisan masyarakat secara terus seperti program berkenaan adalah usaha seiring misi dan visi jabatan.

“Saya berharap peserta akan lebih memahami kepentingan tanah sebagai medium pertumbuhan pokok dan alam sekitar termasuk atmosfera,” katanya.

Menariknya, peserta dibenarkan membawa pulang anak pokok yang ditanam dalam beg polietilena di stesen aktiviti terakhir.

Soil Fun Run adalah salah satu program yang dirancang sebagai sebahagian dari sambutan International Decade of Soils 2015-2024 bermula dua tahun lalu.

UM sebagai pusat penyelidikan terulung dalam bidang kajian tanah di negara ini, berhasrat untuk mengumpulkan penyelidik, agensi luar, pelajar dan orang awam dalam pelbagai aktiviti bermanfaat bagi mengetengahkan isu berkaitan tanah dalam konteks yang lebih luas seperti kelestarian alam sekitar.

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 3:09pm
d