nuansa

Nilai tambah mahasiswa

Oleh Fazurawati Che Lah

Ramai mahasiswa kurang faham kepentingan untuk mereka aktif dalam aktiviti kokurikulum di kampus.

Malah ketika penulis dan rakan sebaya melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi satu ketika dulu juga pernah merungut mengapa aktiviti di kampus menjadi agenda wajib yang perlu diikuti.

Ditambah dengan tugasan yang perlu disiapkan menyebabkan ada beranggapan ia langsung tidak memberi faedah kepada mahasiswa terutama ketika bekerja kelak.

Sebenarnya terlalu banyak manfaat yang diperoleh hasil pembabitan mahasiswa dalam aktiviti kokurikulum antaranya boleh mengasah bakat kepemimpinan selain mengetahui selok-belok berdepan dengan masyarakat.

Naib Presiden Kanan Komunikasi Strategik dan Hubungan Global Management & Science University (MSU) Datuk Rosli Yusof berkata, bagi mahasiswa atau bakal graduan hari ini, kemahiran insaniah sudah pasti lebih berganda kerana pelbagai tuntutan diperlukan pasaran industri sementara persaingan pula semakin sengit.

Katanya, setiap individu khususnya penuntut universiti bukan saja perlu mementingkan aspek akademik dalam kehidupan, malah menitik berat, mengimbangkan masa dan kualiti kehidupan dengan aktiviti kokurikulum.

Jelas beliau, keseimbangan dalam kedua-dua elemen ini antara faktor yang bakal membezakan kualiti seseorang siswazah dari sesebuah universiti.

Katanya, pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik tanpa penguasaan kemahiran insaniah seperti berkomunikasi, minda keusahawanan akan mengurangkan keyakinan diri untuk tampil bergelar pemimpin dalam sesuatu komuniti terutama kepada bakal profesional.

“Tentu sekali memberi nilai tambah kepada mahasiswa kerana hasrat universiti itu juga untuk mentransformasikan mereka menjadi graduan yang holistik dan berkebolehpasaran tinggi.

“Berdasarkan pengalaman, ramai penuntut yang pengalaman kali pertama kurang yakin melakukan aktiviti kampus, tapi sesudah proses itu, kita dapat lihat dari segi kemantapan keyakinan diri mereka semakin terserlah khususnya dalam komunikasi, kerja berkumpulan dan pengurusan diri,” katanya.

Rosli berkata, siswa yang beranggapan mengikuti aktiviti kokurikulum kampus membebankan adalah suatu yang merugikan kerana penilaian kepada aktiviti itu menjadi kehendak dan keperluan industri.

Katanya, ia hanya membabitkan faktor pengurusan masa dan tidak membebankan sekiranya aktiviti yang direncanakan mempunyai elemen yang digemari mahasiswa.

“Setiap aktiviti yang dijalankan mempunyai mentornya, oleh itu peranan mentor penting dalam hubungan komunikasi dua hala dengan penuntut.

“Mentor itu sendiri boleh memantau mahasiswa dan memberi nasihat bagi memastikan pembabitan penuntut tidak membebankan tugasan kuliah dengan aktiviti luar akademik,” katanya.

Katanya, aktiviti kokurikulum di kampus itu juga perlu memenuhi cita rasa mahasiswa abad ke-21 yang kebanyakannya berdampingan dengan media sosial. Aktiviti ini perlu juga memenuhi tuntutan revolusi industri 4.0.

Kebanyakan aktiviti yang dijalankan di institut pengajian tinggi (IPT) lebih kurang sama cuma pengisian saja yang berbeza.

“Aktiviti akademik atau luar akademik itu perlu perlu dirangka dengan tujuan memenuhi cita rasa mahasiswa masa kini. Kita kena lari daripada konsep lama, maksudnya apa saja aktiviti yang diketengahkan ia mesti memenuhi cita rasa pembelajaran abad ke 21.

“Itu penting kerana kita berurusan dengan penuntut generasi millennium dan cita rasa mereka juga berbeza. Jadi kita kena tukar juga cara berinteraksi dan aktiviti itu juga harus diperkaya dengan pelbagai jenis aspek supaya ia menghiburkan serta mendatangkan manfaatnya,” katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 3:19pm
d