nuansa

Keunikan cabaran di Malaysia

Oleh Hafiz Ithnin

Alam semula jadi yang sukar dijangka rintangannya menjadi arena utama. Kepantasan pula antara kayu ukur untuk mengetahui tahap ‘padu’ mereka yang gilakan cabarannya.

Ketika ini aktiviti larian denai dalam kalangan ‘kaki lari’ bukan sesuatu yang baru malah pengikutnya sentiasa berkembang dari semasa ke semasa.

Boleh dikatakan setiap bulan pasti ada acara larian denai diadakan di pelbagai lokasi di seluruh negara. Fenomenanya memberi kesan yang cukup besar kepada pelbagai rantaian pembangunan negara.

Paling jelas, ia menjadikan rakyat Malaysia lebih aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat. Begitu juga dengan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) khususnya dalam industri peralatan sukan antarabangsa ke Malaysia.

Sudah tentu aktiviti larian denai turut meninggalkan kesan kepada sektor pelancongan negara. Ini kerana ia mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong asing untuk merasai sendiri arena hutan hujan tropika negara yang begitu mencabar ini.

Menyorot aktiviti larian denai, penulis difahamkan ia terhasil daripada ‘kegilaan’ mereka yang gemarkan kepantasan ketika melakukan aktiviti meredah hutan hingga ia dikomersialkan menjadi satu acara formal yang mampu menguji tahap kepantasan berlari.

Menariknya, Malaysia ketika ini muncul antara destinasi larian denai pelari antarabangsa kerana kemampuannya menyediakan lapangan yang berbeza dengan negara tropika lain.

Ini kerana hutan tropika Malaysia mempunyai keunikan tersendiri seperti cabaran lembap dan basah sepanjang tahun, banyak sungai, berbukit dan berakar.

Berbanding negara tropika lain paling dekat Thailand umpamanya, dikatakan mempunyai kawasan lapang dan padang lebih terbuka.

Indonesia pula sudah pasti terkenal dengan kewujudan gunung berapinya.

Berkenaan jarak larian denai, terdapat beberapa kategori yang dipertandingkan. Kategori pertama, sekitar lima kilometer (km) dikenali sebagai larian santai.

Dalam kata lain, jarak itu sebagai pengenalan kepada mereka yang masih baru atau sekadar ingin mencuba larian denai.

Seterusnya, ada juga jarak larian yang ditawarkan seperti 10km, 21km, 42km dan melebihi 50km dikenali sebagai larian denai ultra (ultra trail run).

Penulis difahamkan, kejohanan larian denai di peringkat antarabangsa juga pernah membabitkan jarak sejauh sekitar 300km meliputi pelbagai bentuk muka bumi yang bukan sekadar berlari di laluan denai malah merentasi kawasan pergunungan serta mencabar kemampuan peserta dengan mengharungi cuaca ekstrem.

Dalam arena larian denai, terutama bagi mereka yang ingin ‘pergi jauh’ dalam aktiviti ini terdapat beberapa entiti untuk mengukur tahap kedudukan mereka baik tempatan mahupun antarabangsa.

Pihak penganjur larian denai biasanya bekerjasama dengan entiti berkenaan untuk membolehkan peserta memungut mata.

Umpamanya pada peringkat tempatan, Persatuan Pelari Ultra Malaysia (MURA) antara yang mengukur tahap kedudukan ‘pelari ultra’ di Malaysia menerusi kutipan jumlah mata tertentu sekiranya menyertai pertandingan larian di Malaysia.

Asia Trail Master pula sebuah entiti yang merekodkan kedudukan pelari denai di serata dunia sekiranya bertanding di mana-mana lokasi di rantau itu.

Begitu juga dengan Ultra Trail du Mont Blanc (UTMB) iaitu sebuah entiti yang mengukur kedudukan pelari denai antarabangsa menerusi pungutan mata sekiranya mereka menyertai mana-mana acara dan mendapat pengiktirafan. Ia sekali gus melayakkan peserta menyertai kemuncak kejohanan larian denai di seluruh dunia yang dianjurkannya.

Kebiasaannya penganjur akan bekerjasama dengan entiti ini bagi membolehkan peserta memungut mata larian sama ada untuk mengetahui kedudukan pencapaian atau kelayakan menyertai kejohanan dunia yang lebih berprestij.

Memandangkan Malaysia mempunyai lapangan diiktiraf sebagai salah satu lokasi perlumbaan larian denai yang mencabar, tidak hairan ketika ini acara besar dianjurkan mendapat sambutan hangat dalam kalangan peserta asing.

Lebih membanggakan apabila ada rakyat negara ini yang bukan saja berjaya menempatkan diri dalam acara larian denai berprestij dunia atau Asia malah turut muncul pemenang di peringkat serantau.

Melihat kepada aktiviti larian denai yang semakin menjadi fenomena di Malaysia, ada pihak menawarkan pelbagai klinik atau sesi perkongsian maklumat.

Misalnya, penggunaan kasut sesuai, teknik larian, penjagaan nutrisi, penggunaan aksesori dan konsep keselamatan yang perlu diamalkan peserta.

Berkenaan komuniti di negara ini pula, terdapat banyak kumpulan yang wujud dan aktif melakukan latihan bersama seperti Pelari Denai dan Trailblazerz.

Komuniti ini juga membolehkan lebih ramai peserta baru berkongsi pelbagai maklumat berkenaan larian denai.

Aktiviti larian denai juga tidak terhad kepada golongan dewasa saja malah boleh disertai kanak-kanak dan acara khusus untuk mereka juga diadakan baru-baru ini.

Secara keseluruhannya, negara kita sememangnya mempunyai potensi untuk menjadi lapangan bagi acara kejohanan larian denai antarabangsa kerana hutan hijau tropika kita menyediakan cabaran yang tersendiri.

Pada masa sama, pelari denai sedia ada juga perlu aktif mempromosikan Malaysia sebagai lokasi terbaik untuk kejohanan itu kepada rakan pelumba di negara lain. Paling utama setiap pihak perlu peka untuk menjaga aset alam semula jadi negara yang tidak ternilai harganya.

Jangan lupa, hutan kita juga ada cabaran pacat! Selamat memecut wahai si pelari denai!

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 12:08pm
d