nuansa

MYPROSPEC beri pendedahan Revolusi Industri

Oleh Fazurawati Che Lah

Pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sabah (ITQAS) berpeluang menghadiri slot sosialisasi bersama Mufti Negeri Sabah Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar pada program Malaysian Professional Prospect Convention (MYPROSPEC) 4.0 2018 di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

MYPROSPEC adalah program keagamaan berbentuk santai yang dihadiri seramai 37 pelajar ITQAS bagi memberi ruang aktiviti bermanfaat dan mencungkil bakat muda yang terpendam.

Malah, program itu juga menginspirasikan perubahan masyarakat di Sabah yang beragama Islam khususnya di peringkat global.

Peserta, Fatin Safwanah Jummain, 20, berkata, pendedahan berkenaan kerjaya dalam slot Create Your Future yang disampaikan mufti membuka mata dan fikirannya untuk tidak hanya membataskan cita-cita sebagai seorang ustazah.

“Banyak bidang memerlukan ilmuwan Islam. Walau apa pun kerjaya, kita tetap seorang pendakwah yang mempunyai tanggungjawab besar,” katanya.

Selain pelajar ITQAS, 119 peserta lain turut hadir iaitu penuntut dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaysia Sabah, Kolej Tingkatan 6 Kota Kinabalu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu, dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon dan SM All Saints.

Masing-masing menjadikan MYPROSPEC sebagai platform untuk berintegrasi dan saling bertukar pengalaman.

Program ITQAS itu dirasmikan Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UMS Zawawi Tiyunin.

Zawawi berkata, peserta harus memanfaatkan program MYPROSPEC kerana ia dikongsi pakar dalam bidang tertentu.

“Saya melihat MYPROSPEC memberi pendedahan berguna kepada pelajar khususnya berkenaan Revolusi Industri 4.0.

“Penceramah melontar idea bernas supaya potensi ini dapat digunakan dengan baik dan membawa manfaat besar kepada masa depan pelajar,” katanya.

MYRPOSPEC 4.0 ini turut dijalankan serentak di Semenanjung Malaysia iaitu di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Beberapa penceramah hebat turut diundang antaranya Presiden Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM Mohd Syafiq Zainal, Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS Dr Ferlis Bullare @ Bahari, Ketua Pegawai Eksekutif MASwings Aminuddin Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif Yun Fook Resources Sdn Bhd Datuk Yap Yun Fook dan pensyarah Fakulti Kejuruteraan UMS Dr Razak Mohd Ali Lee.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 1:27pm
d