nuansa

Tulisan wartawan HM terbaik

Oleh Hafiz Ithnin

Artikel ‘Ini Di KL Lah...’ yang disiarkan di ruangan Santai kini dikenali sebagai Nuansa ditulis wartawan Harian Metro (HM), Suliati Asri pada 21 Julai 2016, dinobatkan pemenang kategori Artikel Pelancongan Terbaik (Penerbitan Bercetak - Tempatan) pada majlis Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017, baru-baru ini.

Rencana itu mengisahkan laluan kanopi diberi nama Titian Silara di Taman Eko Rimba, Hutan Simpan Bukit Nanas, Kuala Lumpur berjaya menarik perhatian juri, sekali gus dinobatkan sebagai pemenang kategori terbabit.

Hasil kejayaan itu, Suliati membawa pulang piala kemenangan dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Dr Siew Ka Wei. Sekali gus, penganugerahan itu turut menjadi simbolik kejayaan ruangan Nuansa dalam menghasilkan penulisan pelancongan terbaik untuk pembaca Harian Metro.

Sebanyak 52 anugerah disampaikan bagi edisi ke-20 Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017 kali ini membabitkan 14 kategori utama termasuk dua kategori baru iaitu Pusat Hiburan Terbaik dan Syarikat Penerbangan Terbaik.

Program berkenaan turut dihadiri Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Anugerah Pelancongan Malaysia adalah pengiktirafan tertinggi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia kepada pelbagai pemain industri berkenaan yang menonjol serta menyumbang kepada kejayaan sektor pelancongan termasuk hasil karya penulisan wartawan.

Pada majlis anugerah itu juga terdapat dua anugerah tertinggi iaitu Anugerah Perdana Menteri yang berjaya diraih individu, Datuk Seri Idris Haron dan organisasi, TSunway Group.

Sementara anugerah tertinggi kedua yang dikenali sebagai Anugerah Kementerian diraih individu, Anthony Wong dan organisasi The Haven Ipoh.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 10:27am
d