nuansa

Jiwa murni Empire Projek

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Tidak ramai sanggup bersusah payah mengorbankan masa rehat semata-mata mahu membantu orang lain, apatah lagi tanpa sebarang pertalian darah.

Hanya mereka berjiwa murni saja sanggup melakukannya demi meringankan beban selain ingin melihat insan lain tersenyum gembira.

Begitu juga dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Empire Projek (EP) apabila menggunakan pendekatan menganjurkan Karnival Boling EP 2018 dalam usaha mengumpul dana untuk tujuan berkenaan.

Karnival yang membabitkan 84 peserta daripada 28 kumpulan itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM11,200.

Ia terdiri daripada tiga NGO dan 15 lagi peserta daripada syarikat korporat.

Tempat pertama dimenangi pasukan Nestle Chembong, naib johan diraih Wobac dan ketiga adalah Kind.

Pengurus EP, Mohd Asyraf Khan Najib berkata, sebahagian daripada dana itu akan disumbangkan kepada dua NGO iaitu Humanity dan Buku Jalanan Chow Kit.

“Humanity melaksanakan Projek Gerobok Rezeki sementara Buku Jalanan Chow Kit pula memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak Chow Kit yang tidak bersekolah dan mempunyai dokumen perjalanan diri.

“Kita juga akan gunakan dana ini untuk melaksanakan program Food Bank di bawah EP di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Keramat dan SK Danau Kota dengan memberikan sumbangan barangan keperluan.

“Semua penerima adalah murid sekolah itu yang dikategorikan miskin bandar dan mereka hidup dalam kesusahan selain turut diberikan set alat tulis,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, pihaknya kini menggunakan pendekatan baru mencari dana dengan menjual baju-T EP yang dilancarkan, baru-baru ini.

“Baju ini dijual dengan harga RM50 sehelai dan RM30 diperuntukkan untuk projek Food Bank EP.

“Hingga kini seramai 400 penerima mendapat manfaat daripada program yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu ini,” katanya.

Mohd Asyraf berkata, karnival itu akan menjadi acara tahun EP dan berhasrat dilakukan dalam skala lebih besar pada masa akan datang.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 10:57am
d