nuansa

Kuasa kartun

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kartun sering dianggap sebagai bahan jenaka untuk menghiburkan hati. Namun, sebenarnya tidak ramai mengetahui kuasa kartun juga memberi impak besar hingga boleh menggegarkan dunia.

Banyak insiden kurang menarik apabila kartunis ‘terlebih kreatif’ dalam berkarya hingga mengetepikan sensitiviti orang lain. Namun tidak kurang yang menjadikan watak kartun sebagai perangsang emosi dan menaikkan ‘mood’ untuk menjadi ceria.

Lebih menarik, ada yang melihat watak kartun daripada sisi berbeza dan menjadi inspirasinya. Inilah yang dirasai seorang penerima anugerah L’Oreal-UNESCO For Women in Science Fellowship, Dr Jasy Liew Suet Yan dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang tidak disangka menjadikan watak kartun Doraemon dan robot kucing berwarna biru sebagai sumber inspirasinya.

Cinta Dr Jasy, 33, terhadap sains sebenarnya bermula sejak kecil dan minatnya dirangsang dek poket ajaib Doraemon yang boleh mengeluarkan pelbagai gajet hebat untuk menyelesaikan pelbagai masalah.

Perasaan ingin tahu memuncak sehingga dia menyimpan misi untuk mencari penerangan sains di sebalik setiap gajet dan sering tertanya-tanya bagaimana alat berkenaan berfungsi.

Apabila diperkenalkan kepada sains komputer oleh kakaknya, dia begitu teruja dengan pelbagai perkara yang boleh dilakukan menggunakan ilmu baru itu dan berazam memanfaatkan teknologi dalam menjadikan dunia ini lebih baik.

Sementara itu, Pensyarah Sejarah dan Kritikan Seni di Jabatan Pengajian Budaya Visual, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Muliyadi Mahamood juga mempunyai persepsi tersendiri terhadap dunia kartun yang secara jelas mendorong pembaca dan masyarakat mengambil pengajaran daripadanya.

“Ia umpama isyarat kepada karikatur barat supaya lebih berhati-hati dalam berkarya dengan mengambil kira sensitiviti pembaca bagi mengelakkan terjadinya perkara yang boleh mengguris hati sesiapa saja.

“Pada pendapat saya, apa yang paling penting kepada kartunis sebelum menghasilkan karya ialah perlu mengetahui sasaran pembaca untuk mencapai objektif yang boleh memberikan impak positif kepada mereka (pembaca),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Bicara@Muzium, Bila Kartun Berbicara: Kuasa Kartun di Muzium Negara, baru-baru ini.

Dua lagi panel terbabit dalam program itu ialah kartunis terkenal negara yang popular dengan karya Kampung Boy iaitu Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat dan pengarah animasi Hikayat Sang Kancil, Hassan Abd Muthalib atau Pak Hassan.

Program yang berlangsung selama dua jam 30 minit itu mendapat sambutan di luar jangkaan apabila dihadiri lebih 500 peserta.

Bukan sekadar menjadi platform perkongsian ilmu, ia juga secara tidak langsung mendekatkan masyarakat kepada kartunis dan animator tempatan.

Bekas presiden dan pengasas Persatuan Kartunis Malaysia (PEKARTUN) itu berkata, pelukis kartun perlu mengambil kira konteks persekitaran masyarakat bagi sesebuah negara seperti sensitiviti kaum dan institusi perundangan.

“Ini yang kita perlu beri perhatian tapi ia bukan penghalang kartunis untuk berkarya. Ia bertujuan melatih kartunis menghasilkan karya yang dapat memenuhi perkara itu.

“Selain itu, ia juga untuk mengelakkan salah faham kerana tafsiran dan kefahaman seseorang terhadap kartun biasanya berbeza,” katanya.

Beliau berkata, kartun yang ‘kuat’ boleh menjelaskan sesuatu isu kompleks dalam mesej yang mudah dan mampu menyentuh hati pembaca hingga menitiskan air mata.

Katanya lagi, penyelidikan sangat penting untuk mengenal pasti trend dan kecenderungan generasi hari ini yang peka dengan perubahan teknologi digital supaya karya dihasilkan sentiasa relevan.

“Karikatur bukan sekadar melukis orang di jalanan tetapi ia perlu ditransformasikan ke dalam bentuk animasi yang lebih menarik perhatian pembaca,” katanya.

Sementara itu, kartunis terkenal negara yang menjadi moderator dalam program berkenaan, Ahmad Hilmy Abdullah berkata, bagi golongan kartunis di negara ini, usik-mengusik menerusi karya mereka adalah perkara biasa dan tidak mempunyai maksud atau berniat jahat.

“Tapi ia sering disalahertikan seperti yang terjadi dengan satu karya kartunis Maro, tahun lalu hingga ia bertukar menjadi isu panas.

“Masyarakat perlu banyak membaca supaya lebih memahami isu semasa dan tidak mudah memberikan pandangan negatif terhadap sesuatu lakaran lukisan,” katanya.

Beliau berkata, karikatur adalah satu cabang seni visual dan animasi yang menggalakkan kartunis dipelbagaikan kreativiti mereka kerana ia satu bidang pekerjaan yang menjamin masa depan.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 11:08am
d