nuansa

Disiplin melalui wushu

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Zhong Hua bermaksud masyarakat Cina dan salah satu daripada etnik yang terdapat di negara ini.

Kehadiran mereka menambahkan lagi ‘warna-warni’ masyarakat sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan kaya dengan pelbagai budaya unik.

Namun, tidak ramai mengetahui keunikan seni budaya kaum berkenaan yang berkemungkinan disebabkan faktor kurang pendedahan.

Lantas, Persatuan Seni Budaya Zhong Hua Universiti Putra Malaysia mengambil inisiatif berkongsi keunikan itu menerusi penganjuran Pesta Ang Pau ke-13, baru-baru ini.

Antara keunikan berkenaan ialah tarian tradisional dan seni mempertahankan diri dari China iaitu wushu.

Pengarah program Pang Way Ken berkata, pembabitan golongan muda masyarakat Cina dalam wushu semakin kurang jika dibandingkan satu ketika dulu.

“Ini kerana tempoh latihan yang agak lama perlu dijalani pelatih hingga mahir menyebabkan ia kurang digemari.

“Wushu bukan saja dapat mempertahankan diri jika diserang musuh tapi membentuk disiplin yang tinggi,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, pada masa kini wushu sudah mengalami banyak unsur moden yang diterapkan pada teknik seni mempertahankan diri berkenaan.

Pang berkata, kebudayaan Zhong Hua sangat menitikberatkan kesefahaman tinggi, bertolak ansur dan saling menghormati bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni.

Berkenaan Pesta Ang Pau, Pang berkata, ia adalah satu program tahunan persatuan terbabit untuk memperkenalkan keunikan budaya masyarakat itu.

“Melalui penganjuran program ini, kepentingan dan amalan sambutan Tahun Baru Cina dapat diperkenalkan secara meluas kepada generasi muda bangsa lain.

“Seni budaya perlu dipelihara kerana ia menjadi lambang dan identiti sesuatu bangsa,” katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 9:34am
d